Ahad, 25 Oktober 2020 | 4:24pm
Chong Wei (kanan) antara pemain yang berjaya di bawah bimbingan Misbun (kiri). FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Chong Wei (kanan) antara pemain yang berjaya di bawah bimbingan Misbun (kiri). FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

'Air tangan' Misbun jarang mengecewakan

"CHONG Wei, apa yang you mahu?"

"Saya beritahu saya mahu menjadi pemain utama dunia dan saya mahu layak ke Sukan Olimpik."

Itu antara isi penting yang dikongsikan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kepada penulis, empat tahun lalu saat ditanya mengenai pengalamannya sepanjang berada di bawah bimbingan Datuk Misbun Sidek sekali gus mengubah perjalanan kerjayanya 360 darjah.

Chong Wei memberitahu Misbun yang terkenal dengan ketegasannya dan cukup mementingkan disiplin hanya mahu dia menyerahkan seluruh tenaga dan mengikut segala arahannya untuk beliau bantu merealisasikan impian berkenaan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengakui Misbun adalah watak penting terhadap apa yang diraihnya sehingga layak digelar pemain terhebat negara berdasarkan pencapaiannya termasuklah memenangi tiga pingat perak Sukan Olimpik.

Pingat pertama Chong Wei pada temasya terbesar dunia itu hadir pada 2008 di Beijing, hasil bimbingan daripada Misbun.

Drama peletakan jawatan Misbun selaku jurulatih kebangsaan pada hujung 2010 sedikit sebanyak merencatkan perancangan bagi menyaksikan Chong Wei menggenggam emas sulung Olimpik buat Malaysia apabila dia sekali lagi berpuas hati dengan perak pada 2012 di London sebelum meraih pencapaian sama pada 2016 di Rio de Janeiro.

Sebenarnya, bukan hanya Chong Wei yang bernasib baik mendapat sentuhan Misbun kerana sebelum itu jurulatih berkenaan turut memainkan peranan penting terhadap kejayaan beberapa lagi pemain negara seperti adik bongsunya, Rashid Sidek, Roslin Hashim dan Muhamad Hafiz Hashim.

Rashid menjadi pemain perseorangan lelaki pertama negara yang memenangi pingat pada Sukan Olimpik apabila dia meraih gangsa pada edisi 1996 di Atlanta manakala Roslin berjaya menjadi pemain nombor satu dunia dan Hafiz pula menamatkan kemarau 37 tahun Malaysia apabila menjuarai Seluruh England pada 2003.

Malah, isteri Chong Wei, Datin Wong Mew Choo turut mendapat sentuhan daripada Misbun yang menyaksikan dia menjadi pemain wanita pertama Malaysia muncul juara kejohanan antarabangsa di luar negara dengan menjuarai Terbuka China pada 2007.

Sedar dengan kredibiliti dimiliki Misbun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di bawah pimpinan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berjaya memujuk Misbun untuk kembali dalam struktur kejurulatihan skuad kebangsaan dengan beliau diberi peranan sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki pada 2017.

Misbun tidak menunggu lama untuk membuktikan sentuhan magisnya apabila dia berjaya melonjakkan prestasi pemain muda negara, Lee Zii Jia dalam tempoh kurang dua tahun dan hasilnya berjaya dituai pada 2018 apabila pemain itu meraih gelaran pertamanya di peringkat senior dengan menjuarai Terbuka Taiwan.

Walaupun Zii Jia kini bukan lagi di bawah tanggungjawab Misbun, namun harus diingat semuanya bermula menerusi air tangan jurulatih berkenaan yang berjaya mentransformasikan pemain berusia 22 tahun itu untuk mencapai apa yang diraihnya hari ini.

Ketika ini, Zii Jia yang menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan lelaki utama negara sejak Chong Wei mengumumkan persaraannya Julai tahun lalu sudah berada pada kedudukan ranking ke-10 dunia.

Perjalanan kerjaya Misbun dalam skuad kebangsaan nyata penuh warna-warni apabila beliau kini diberi peranan sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan sejak Februari lalu.

Penulis pada awalnya agak terkejut dengan keputusan BAM itu kerana menganggap beliau sepatutnya diberi peluang untuk terus melatih Zii Jia terutamanya dalam mempersiapkan pemain itu bagi menghadapi Sukan Olimpik pertamanya di Tokyo.

Bagaimanapun, penulis akhirnya sedar betapa BAM terpaksa membuat keputusan drastik itu demi perancangan jangka panjang dan bagi memastikan 'pisang tidak berbuah dua kali' apabila kita sering disajikan dengan kegagalan proses transisi pemain remaja ke peringkat senior.

Mengikut 'perkiraan' penulis, BAM sebenarnya menagih kepakaran Misbun dalam mengenal pasti bakat baharu dan mempersiapkan mereka untuk menempuh cabaran yang lebih sukar di peringkat senior.

Ini kerana, Malaysia tidak boleh lagi hanya berbangga dengan kejayaan pemain muncul juara remaja dunia tetapi apabila memasuki peringkat senior, semuanya terkulai layu.

Baru-baru ini, sebaik tamat saingan Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan, Misbun memberitahu beliau ada mengenal pasti beberapa pemain yang mempunyai karakter seperti Chong Wei ketika usia remajanya dan mengakui ia petanda yang positif buat skuad remaja negara.

Kebijaksanaan dan kredibiliti Misbun dalam hal ini akan teruji tentang bagaimana beliau mahu memastikan pemain yang dianggap berpotensi itu mampu meraih kejayaan di peringkat remaja dan menjadi jaguh dunia apabila memasuki peringkat senior.

Berita Harian X