Rabu, 21 Oktober 2020 | 10:54am
JALANI Sidek (kiri) dan Misbun Sidek.
JALANI Sidek (kiri) dan Misbun Sidek.

Kebijaksanaan Misbun jadi taruhan

KUALA LUMPUR: Malaysia sebenarnya tidak pernah ketandusan bakat muda dalam sukan badminton.

Perkara itu ditegaskan bekas pakar beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek yang melihat beberapa kelemahan sebelum ini menjadi punca proses transisi pemain daripada peringkat remaja ke senior gagal.

Bagaimanapun, katanya, dengan kehadiran Datuk Misbun Sidek sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beliau percaya abangnya itu mempunyai ramuan untuk memastikan kesilapan sama tidak berulang.

"Bila Misbun katakan yang beliau sudah kenal pasti beberapa pemain yang memiliki karakter seperti Datuk Lee Chong Wei (bekas jaguh perseorangan lelaki negara) ketika usia remajanya, saya tidak boleh nafikan.

"Itu memang kepakaran Misbun dalam mengenal pasti bakat-bakat yang berpotensi," katanya.

Bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Barcelona 1992 bersama Datuk Razif Sidek itu, berkata apa yang mahu dilihatnya selepas ini adalah kebijaksanaan Misbun dalam merancang dan mempercepatkan proses untuk pemain menyerlah lebih awal di peringkat tertinggi.

"Saya mahu lihat bagaimana pemain yang dikatakan berpotensi digilap untuk menjadi pemain yang berkualiti dan mampu menjadi juara.

"Mengenal pasti pemain yang berpotensi adalah satu perkara tetapi langkah yang seterusnya adalah satu perkara berbeza. Jadi, kini terpulang kepada kebijaksanaan Misbun bersama barisan jurulatih yang ada untuk membantu pemain itu melangkah lebih jauh.

"Kita perlu kaji apa perancangan jangka pendek dan panjang untuk pemain berkenaan. Saya pasti Misbun sedar dengan kelemahan sebelum ini yang menyaksikan kita terpaksa menunggu lama untuk mencari pengganti kepada Chong Wei.

"Misbun adalah arkitek yang akan menentukan pembangunan pemain remaja negara. Jadi, saya harap kesilapan sama tidak berulang," kata Jalani.

BH Sukan semalam melaporkan Misbun sudah mengenal pasti beberapa pemain remaja negara yang memiliki karakter Chong Wei ketika usia remajanya.

Bagaimanapun, beliau yang dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Remaja kebangsaan sejak Februari lalu enggan mendedahkan indentiti pemain berkenaan kerana tidak mahu mereka berasa selesa.

Berita Harian X