Rabu, 30 September 2020 | 6:52pm
Kenny maklumkan tiada masalah Terbuka Malaysia dan SUKMA berlangsung serentak.
Kenny maklumkan tiada masalah Terbuka Malaysia dan SUKMA berlangsung serentak.

SUKMA tak jejas Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2021 yang dijadual dari 6 hingga 11 April, tahun depan tetap akan diteruskan biarpun bertindih dengan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor.

Temasya itu yang ditunda sebanyak dua kali sebelum ini akibat pandemik COVID-19 dijadual semula bermula pada 2 hingga 10 April tahun depan.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh bagaimanapun berkata, penganjur SUKMA perlu mencari alternatif lain membabitkan penggunaan sistem keputusan perlawanan yang mana Tournamentsoftware.com akan digunakan untuk saingan Terbuka Malaysia.

"Ini sesuatu yang perlu difikirkan oleh penganjur SUKMA (sistem keputusan perlawanan yang akan digunakan). Untuk Terbuka Malaysia kami akan menggunakan Tournamentsoftware.com.

"Tournamentsoftware.com ini hanya boleh digunakan dalam satu kejohanan pada satu masa saja," kata Kenny kepada BH Sukan.

Kenny berkata, buat masa ini pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk menunda saingan Terbuka Malaysia yang bertaraf Jelajah Dunia Super 750.

"Berdasarkan situasi yang tidak menentu ketika ini sukar untuk saya ulas lanjut tetapi apa yang saya boleh katakan, buat masa sekarang Terbuka Malaysia akan diteruskan ikut jadual.

"Tiada masalah untuk kedua-dua kejohanan (Terbuka Malaysia dan SUKMA) berlangsung serentak. Ia membabitkan dua kumpulan pemain yang berbeza, Terbuka Malaysia babitkan pemain senior dan SUKMA remaja.

"Malah, kami mempunyai pegawai teknikal yang mencukupi untuk kedua-dua kejohanan berlangsung serentak," katanya.

Terdahulu, saingan Masters Malaysia yang berlangsung pada 19 hingga 24 Januari tahun depan terpaksa ditunda bagi memberi laluan kepada penganjuran Siri Asia Jelajah Dunia BWF yang diadakan di Thailand.

Siri Asia Jelajah Dunia BWF itu bakal berlangsung dengan dua kejohanan Super 1000 dari 12 hingga 17 Januari dan 19 hingga 24 Januari. Ia disusuli Final Jelajah Dunia BWF dari 27 hingga 31 Januari.

Berita Harian X