Selasa, 29 September 2020 | 8:47pm
BWF akan bincang dengan BAT sebelum putuskan sama ada penonton dibenarkan atau tidak saksi Kejohanan Jelajah Dunia.
BWF akan bincang dengan BAT sebelum putuskan sama ada penonton dibenarkan atau tidak saksi Kejohanan Jelajah Dunia.

BWF mahu tunggu dulu

KUALA LUMPUR: Belum ada kepastian sama ada penonton dibenarkan atau tidak menyaksikan Kejohanan Jelajah Dunia BWF 2020 yang dijadual berlangsung di Thailand, Januari depan.

Ini disebabkan penularan pandemik COVID-19 masih berleluasa di seluruh dunia namun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Thailand dan Persatuan Badminton Thailand (BAT) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Buat masa ini, kami tidak mampu memberitahu sama ada penonton dibenarkan ataupun sebaliknya," kata Setiausaha Kehormat BWF, Thomas Lund pada satu sidang video mengenai kejohanan itu, hari ini.

"Keputusan perlu dibuat bersama pihak berkuasa tempatan serta yang lain, dan kami sentiasa memantau situasi dari semasa ke semasa. Seperti kita tahu, situasi COVID-19 sentiasa berubah dengan pantas. Apa yang berlaku hari ini mungkin berbeza pada minggu depan.

"Apapun, itu bukan sesuatu yang akan menjadi kata putusnya, sama ada kita akan menganjurkan kejohanan ataupun tidak. Kami akan berbincang dengan pihak kerajaan Thailand dan persatuan badminton Thailand, bagaimana untuk mengendalikan tempat penonton."

Siri Asia Jelajah Dunia BWF ini bakal berlangsung dengan dua kejohanan Super 1000 dari 12 hingga 17 Januari dan 19 hingga 24 Januari. Ia akan disusuli dengan Final Jelajah Dunia BWF yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 31 Januari.

Sementara itu, Presiden BAT, Khunying Patama Leeswadtrakul yang juga Timbalan Presiden BWF berkata, pihaknya akan memastikan tahap keselamatan dan juga kesihatan pemain sentiasa menjadi keutamaan mereka.

"Kesemua pemain perlu melakukan ujian COVID-19 sebelum berlepas (ke Thailand) bagi memastikan mereka bebas COVID-19. Apabila tiba di lapangan terbang Bangkok, mereka sekali lagi perlu melakukan ujian COVID-19 dan akan berada di hotel yang ditetapkan bagi proses kuarantin, latihan dan kejohanan.

"Mereka perlu mengikuti semua arahan dan langkah ditetapkan yang menggunakan konsep 'Buble Protocol'. Dalam tempoh 14 hari kuarantin ini, mereka akan beberapa kali melakukan ujian COVID-19. Selepas 14 hari, baru mereka boleh keluar daripada hotel yang ditetapkan," katanya.

Berita Harian X