Sabtu, 26 September 2020 | 6:35pm
Rudy dikatakan terjatuh ketika bersiar-siar pagi tadi.
Rudy dikatakan terjatuh ketika bersiar-siar pagi tadi.

Rudy Hartono kena strok

JAKARTA: Juara lapan kali All England, Rudy Hartono dilaporkan menghidap penyakit strok, lapor GoSports.com.my.

Legenda Indonesia berusia 71 tahun itu dikatakan menerima rawatan di Hospital Siloam, Pondok Indah.

Hartono merangkul gelaran All England pertamanya pada usia 18 tahun ketika menundukkan pemain Malaysia, Tan Aik Huang pada 1968 dengan dia turut menjadi ahli pasukan Piala Thomas 1967, 1970, 1973, 1976, 1979 dan 1982 serta juara dunia 1980.

Rudy turut terbabit dengan Persatuan Badminton Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) dan memegang beberapa jawatan seperti Pengerusi Hal Ehwal Pembangunan sehingga 2006 dan kini menjadi Lembaga Kehormat PBSI.

Dia juga menjadi sebahagian daripada ahli majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dari 1985 hingga 1986 dan 1994 hingga 2009.

Bagaimanapun, tiada berita lanjut mengenai keadaannya ketika ini dan difahamkan, dia terjatuh ketika bersiar-siar, pagi tadi.

Sementara itu, Antara melaporkan adik iparnya, Imelda Wiguna memaklumkan media Indonesia bahawa legenda badminton itu sudahpun berada dalam keadaan stabil.

Katanya, Rudy kini lebih baik dan sudah menjalani ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

"Dia lebih baik sekarang. Seluruh keluarga badminton di seluruh dunia dan penyokong di Indonesia mengambil berat kepada Rudy," kata Imelda. -Agensi

Berita Harian X