Sabtu, 26 September 2020 | 11:12am
Gambar fail, Victoria Azarenka membalas pukulan Naomi Osaka pada perlawanan akhir Terbuka Amerika Syarikat, 12 September lalu. - Foto AFP
Gambar fail, Victoria Azarenka membalas pukulan Naomi Osaka pada perlawanan akhir Terbuka Amerika Syarikat, 12 September lalu. - Foto AFP

Azarenka teruja kembali di Roland Garros

PARIS: Victoria Azarenka sudah bersedia untuk berdepan cabaran sekali gus mengekalkan momentum mara ke final Terbuka Amerika Syarikat (AS) menjelang aksi di Roland Garros biarpun hanya melakar tiga kemenangan di Paris sejak tujuh tahun lalu.

Pemain kelahiran Belarus itu berdepan masalah kecederaan dan hak penjagaan anak namun bekas pemain nombor satu dunia berkenaan membuktikan di New York bahawa dia masih belum hilang sentuhan bertaraf Grand Slam.

Dia tumpas kepada Naomi Osaka pada perlawanan akhir Terbuka AS buat kali ketiga namun ia adalah penampilan pertamanya di Grand Slam sejak tewas kepada Serena Williams di Flushing Meadows pada 2013.

Azarenka, yang juga juara Terbuka Australia sebanyak dua kali, mengakui semakin matang dan kelihatan bersemangat mengenai peluangnya di Terbuka Perancis.

"Saya sudah merasakan sejak tahun lalu bahawa saya akhirnya sudah mendapatkan rentak, seronok beraksi di gelanggang tanah liat, menggelungsur dan bukan hanya mengetuk tanah di kasut setiap kali beraksi di permukaan itu.

"Saya rasa lebih banyak menikmatinya sekarang, saya dapat menyesuaikan diri dengan baik. Saya jangka dapat menyesuaikan diri dari hari ke hari selepas ini.

"Saya juga berasa teruja untuk mencorakkan permainan saya di permukaan tanah liat. Ini tahun kedua saya menikmatinya selepas 16 tahun berada dalam jelajah. Saya tidak sabar untuk turun beraksi," kata Azarenka yang berusia 31 tahun.

Persembahan terbaik Azarenka di ibu negara Perancis itu hadir ketika berjaya mara ke separuh akhir pada 2013 sebelum tewas di tangan Maria Sharapova.

Dalam empat penampilannya selepas itu, dia tidak berjaya untuk melepasi pusingan ketiga dan dua kali tewas di perlawanan pembukaan. - AFP

 

 

 

Berita Harian X