Khamis, 24 September 2020 | 3:31pm
Wai Yin (tengah) bersama Aaron (kanan) dan Wooi Yik selepas menandatangani perjanjian sebagai duta 100PLUS.
Wai Yin (tengah) bersama Aaron (kanan) dan Wooi Yik selepas menandatangani perjanjian sebagai duta 100PLUS.

Aaron-Wooi Yik duta 100PLUS

KUALA LUMPUR: Pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengibar jenama 100PLUS selepas memeterai perjanjian dua tahun dengan minuman isotonik nombor satu itu.

Aaron-Wooi Yik menyusuli jejak langkah legenda negara dan ikon nasional, Datuk Lee Chong Wei dan bintang perseorangan nombor satu negara Lee Zii Jia sebagai duta jenama berkenaan.

Chong Wei, pemenang tiga pingat di Sukan Olimpik, sudah menjalin perkongsian dengan 100PLUS sejak 2009 manakala Zii Jia menjadi duta jenama berkenaan sejak tahun lalu.

Aaron, 23, dan Wooi Yik, 22, menunjukkan impak besar di pentas antarabangsa apabila berjaya menembusi ranking 10 teratas BWF, dengan berada di tangga kesembilan sebelum tercetusnya wabak COVID-19.

Kemungkinan pasangan itu untuk terus melonjak cerah apabila pertandingan disambung semula nanti.

"Aaron dan Wooi Yik mempunyai masa depan yang cerah, apatah lagi dengan semangat tinggi, sentiasa bekerja keras selain berbakat dan mempunyai potensi yang amat besar.

Berdasarkan prestasi mereka kini, pasangan ini pasti akan memenangi kejuaraan yang besar," kata Pengurus Pemasaran Kanan 100PLUS, Leong Wai Yin hari ini.

"Kami mempunyai keyakinan penuh ke atas pasangan ini dan sebab itulah kami menandatangani mereka sebagai duta jenama kami."

Selain Wai Yin, hadir sama pada majlis menandatangani perjanjian itu ialah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, Konsultan 100PLUS, Datuk Kamal Harun dan Pengarah Urusan Timur Jauh Victor Malaysia, Datuk Alex Ong.

"Sokongan 100PLUS ke atas badminton sememangnya sinonim dan menjadi bukti keyakinan mereka terhadap kami dan paling utama, pengiktirafan terhadap segala usaha kami.

100PLUS sememangnya sentiasa menaja pemain ternama, jadi tentunya ini sesuatu yang amat memberangsangkan dan akan menjadi inspirasi kepada kami untuk mencapai kejayaan lebih besar.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM dan 100PLUS di atas sokongan mereka dan menjadikan penajaan ini satu kenyataan," kata Aaron.

Menerusi perjanjian penajaan itu, Aaron dan Wooi Yik akan dibekalkan dengan 100PLUS ACTIVE sepanjang latihan dan pertandingan. Pasangan berkenaan akan mendapat manfaat dari minuman 100PLUS ACTIVE yang mempunyai formula tanpa berkarbonat khas untuk segera menghidrasi semula, menggantikan cecair dan elektrolit yang hilang semasa latihan dan bersukan dan memberi semula tenaga dengan Vitamin B3, B6, B12.

Berita Harian X