Ahad, 20 September 2020 | 5:38pm
Ng Tze Yong
Ng Tze Yong

Tze Yong bintang badminton dalam pembikinan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki muda negara, Ng Tze Yong semakin menunjukkan taringnya dalam usaha bergelar jaguh negara.

Tze Yong membuktikan dia adalah bintang dalam pembikinan menerusi peningkatan prestasi yang ditunjukkan terutama dalam saingan Kejohanan Jemputan BAM, bulan lalu yang menyaksikannya muncul juara selepas menewaskan Leong Jun Hao dalam aksi final.

Malah, dia turut beraksi cemerlang ketika membantu Pasukan A muncul juara Piala Presiden, Khamis lalu apabila dia yang turun selaku perseorangan kedua berjaya menewaskan Jun Hao sekali lagi.

Dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan, Tze Yong yang kini menghuni ranking ke-134 dunia yakin dia sudah bersedia sekiranya diberi peluang beraksi dalam saingan Jelalah Dunia BWF Super 100.

Sebagai rekod, kejohanan terbesar pernah disertai pemain berusia 20 tahun itu adalah bertaraf Cabaran Antarabangsa.

"Dengan prestasi ketika ini, saya percaya boleh memberi tentangan sengit dengan pemain dari negara lain sekiranya beraksi dalam kejohana Super 100. Kalau kalah pun, bukan kalah mudah.

"Fokus saya selepas ini adalah untuk meningkatkan kedudukan ranking dunia dengan berada dalam kelompok 60 terbaik dunia," katanya.

Walaupun mengakui kecewa tidak disenaraikan dalam skuad negara bagi menghadapi saingan Piala Thomas 2020 sebelum kejohanan itu ditunda tetapi dia tidak patah semangat sebaliknya mahu terus bekerja keras bagi merebut pada masa akan datang.

"Kecewa memang kecewwa tetapi ini adalah keputusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Saya akan terus fokus dalam latihan bagi meningkatkan lagi prestasi saya," katanya.

Berita Harian X