Ahad, 20 September 2020 | 10:17am
Diego Schwartzman berjalan melintasi Rafael Nadal ketika rehat aksi suku akhir Terbuka Itali. - Foto AFP
Diego Schwartzman berjalan melintasi Rafael Nadal ketika rehat aksi suku akhir Terbuka Itali. - Foto AFP

Nadal tersingkir di Terbuka Itali

ROME: Raja gelanggang tanah liat Rafael Nadal tersingkir di suku akhir Terbuka Itali kepada pemain Argentina Diego Schwartzman, kejohanan yang dimenangi sembilan kali oleh pemain Sepanyol itu.

Pilihan kelapan kejohanan, Schwartzman menang 6-2, 7-5 ke atas Nadal yang dalam persiapan terakhir memburu kejuaraan ke-13 Terbuka Perancis dan gelaran Grand Slam ke-20 kariernya.

Pilihan utama Novak Djokovic turut tewas pada set pertama tetapi bangkit menewaskan pemain Jerman Dominik Koepfer 6-3, 4-6, 6-3.

"Ia bukan malam saya. Dia bermain sangat baik, tetapi bukan saya, dan apabila ini berlaku anda pasti kalah," kata Nadal yang menang kesemua sembilan pertemuan dengan Schwartzman sebelum ini.

Nadal, 34, juara bertahan dua kali kejohanan itu membuat penampilan pertamanya selepas rehat enam bulan akibat pandemik di mana dia tidak menyertai Terbuka Amerika Syarikat.

Djokovic, dua minggu selepas disingkirkan dari Terbuka AS kerana memukul bola ke arah penjaga garisan, membaling raketnya selepas tewas set pertama.

"Ini bukan kali pertama atau terakhir saya patahkan raket dalam karier saya. Saya pernah melakukannya.

"Saya mungkin akan melakukannya lagi. Saya tidak berniat melakukannya, tetapi ada ketika itu cara saya melepaskan kemarahan," kata Djokovic. - AFP

Berita Harian X