Sabtu, 19 September 2020 | 4:41pm
Wong Choong Hann - NSTP/Owee Ah Chun
Wong Choong Hann - NSTP/Owee Ah Chun

BAM henti persiapan Piala Thomas/Uber

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghentikan persiapan skuad negara bagi menghadapi saingan Piala Thomas/Uber 2020 selepas kejohanan berpasukan itu ditunda.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata badan induk itu kini mengalihkan fokus bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung 23 Julai hingga 8 Ogos tahun depan.

"Setakat ini, kita belum mendapat sebarang maklumat daripada BWF mengenai bila Piala Thomas/Uber akan diadakan. Jadi, kita buat keputusan untuk menghentikan persiapan kita untuk kejohanan itu buat sementara waktu ini.

"Ini bagi membolehkan semua pemain termasuk pemain profesional dapat kembali kepada rutin asal mereka. Fokus kita adalah kejohanan akan datang dahulu.

"Jika sudah memang pasti Sukan Olimpik akan diadakan dulu, kita fokus Olimpik dululah," kata Choong Hann.

Isnin lalu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memutuskan untuk menunda saingan Piala Thomas/Uber 2020 yang sepatutnya berlangsung di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober ini selepas beberapa negara menarik diri kerana masih bimbang dengan penularan pandemik COVID-19.

Bagi persiapan menghadapi Piala Thomas sebelum ini, BAM memanggil empat wakil profesional iaitu dua perseorangan lelaki, Liew Daren dan Soong Joon Ven selain dua beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bagi menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Bagaimanapun, Choong Hann, berkata V Shem-Tan Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 akan tetap meneruskan latihan bersama skuad kebangsaan sebanyak dua kali seminggu di bawah program Road to Tokyo (RTT).

Selain V Shem-Wee Kiong, beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut berada di bawah program RTT.

"Perkara ini sememangnya kita sudah berjanji dan ia akan diteruskan di bawah program RTT untuk kedua-dua pasangan berkenaan.

"Bagi Daren dan Joo Ven pula, kehadiran mereka sebelum ini memang untuk persiapan Piala Thomas tetapi mereka juga kita ambil untuk menjadi rakan sepelatih kepada pemain kita. Jadi, kemungkinan besar kita akan teruskan." katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X