Khamis, 17 September 2020 | 11:06pm
Lee Zii Jia ketika beraksi pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Lee Zii Jia ketika beraksi pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Zii Jia akui hilang fokus

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia mengakui hilang fokus disebabkan terlalu lama tidak beraksi dalam kejohanan sebenar.

Disebabkan itu, dia mengakui gagal mempamerkan prestasi sebenar biarpun berjaya menyumbangkan mata pertama buat Pasukan A dengan menewaskan Cheam June Wei 22-20, 21-18 dalam aksi Piala Presiden di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

"Kalau berdasarkan perlawanan ini, memang saya tidak puas hati dengan prestasi saya. Saya rasa main pun tidak bagus.

"Mungkin disebabkan sudah terlalu lama tidak ada kejohanan, selama ini asyik berlatih saja. Lama-kelamaan saya pun hilang fokus sebab tiada sasaran (yang ingin dicapai).

"Selama ini sentiasa ada kejohanan dan ada sasaran. Jadi, memang saya hilang fokus," kata pemain ranking ke-10 dunia itu.

Dengan saingan Piala Thomas/Uber 2020 yang dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober ini ditunda, Zii Jia nampaknya perlu menunggu lebih lama bagi kembali beraksi dalam kejohanan sebenar.

Persatuan Badminton Thailand (BAT) dilaporkan menawarkan diri bagi menganjurkan tiga kejohanan dalam kalendar Jelajah Dunia BWF termasuk Jelajah Dunia Akhir pada November depan namun belum ada sebarang pengesahan mengenainya.

Ditanya sama ada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu menganjurkan kejohanan jemputan membabitkan pemain kebangsaan dengan lebih kerap, Zii Jia berkata: "Secara jujurnya, kejohanan jemputan ini tidak sama dengan kejohanan sebenar.

"Namun, pemain tetap perlu kekal merasai suasana seperti beraksi dalam kejohanan dan saya fikir BAM perlu adakan lagi (kejohanan jemputan)," katanya.

Terdahulu, Pasukan A yang diketuai Zii Jia muncul juara Piala Presiden selepas menewaskan Pasukan B 4-1.

Selain Zii Jia, mata Pasukan A turut disumbangkan menerusi beregu, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang menewaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik 23-21, 21-13 selain perseorangan, Ng Tze Yong yang menundukkan Leong Jun Hao 21-19, 21-11 dan Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar yang mengatasi Lee Shun Yang 21-15, 23-21.

Satu Pasukan B diraih menerusi gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang menewaskan Low Hang Yee-Ng Eng Chong 21-19, 21-14.

Berita Harian X