Khamis, 17 September 2020 | 10:47pm
Soniia Cheah ketika menyertai latihan pasukan badminton negara di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Soniia Cheah ketika menyertai latihan pasukan badminton negara di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Soniia alih fokus ke Thailand

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Soniia Cheah kekal positif biarpun perlu menunggu lebih lama untuk beraksi dalam kejohanan antarabangsa selepas saingan Piala Uber 2020 ditunda.

Katanya, dia kini mengalihkan fokus bagi menghadapi kejohanan Jelajah Asia yang dijangka dianjurkan oleh Thailand pada November ini.

Persatuan Badminton Thailand (BAT) dilaporkan menawarkan diri bagi menganjurkan tiga kejohanan dalam kalendar Jelajah Dunia BWF termasuk Jelajah Dunia Akhir.

"Buat masa sekarang, berdasarkan maklumat yang saya terima daripada jurulatih, saya akan menyertai kejohanan (Jelajah) Asia di Thailand.

"Jadi, saya akan terus kekal berlatih seperti biasa dan buat persiapan bagi menghadapi kejohanan di Thailand itu," katanya.

Soniia yang menghuni ranking ke-29 dunia sepatutnya beraksi pada saingan Piala Uber 2020 di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober ini tetapi kejohanan berkenaan terpaksa ditunda susulan penarikan diri beberapa negara yang masih bimbang dengan penularan pandemik COVID-19.

"Saya fikir BWF buat keputusan yang tepat selepas beberapa negara menarik diri kerana bimbang dengan wabak ini (COVID-19). Lagipun, keadaan masih belum stabil pada masa ini," katanya.

Berita Harian X