Khamis, 10 September 2020 | 9:48pm
Aksi Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada perlawanan separuh akhir Kejuaraan PERODUA Malaysia Masters di Axiata Arena Bukit Jalil, tahun lalu. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Aksi Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada perlawanan separuh akhir Kejuaraan PERODUA Malaysia Masters di Axiata Arena Bukit Jalil, tahun lalu. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Aaron harap akhiri badi jumpa beregu Indonesia di Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia berharap tuah beraksi dalam acara berpasukan dapat membantu dia dan gandingannya, Soh Wooi Yik menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Aaron-Wooi Yik dijangka membuat perhitungan dengan Marcus-Kevin apabila Malaysia berdepan Indonesia dalam aksi Kumpulan A saingan Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober ini.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik yang juga naib juara Seluruh England 2019, tewas semua tujuh pertemuan dengan jaguh dari Indonesia itu sebelum ini.

"Memang harap boleh buat kejutan tetapi ia bukan mudah apatah lagi mereka beregu nombor satu dunia. Kami akan cuba buat yang terbaik.

"Bermain dalam acara berpasukan, ia pastinya memberi motivasi yang lebih kepada kami, ada sokongan daripada rakan sepasukan. Jadi, kami harap boleh pamer prestasi terbaik, lebih baik berbanding dalam saingan individu," katanya kepada BH Sukan.

Selain Aaron-Wooi Yik yang menggalas tugas selaku beregu pertama, skuad negara kali ini turut membariskan pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terpaksa melupakan khidmat pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menolak pelawaan bagi bersama skuad negara atas alasan peribadi.

V Shem baru sahaja bergelar bapa pada 30 Ogos lalu manakala Wee Kiong bakal menyambut kelahiran anak keduanya yang dijangka pada 17 Oktober ini.

Ditanya mengenai ketiadaan V Shem-Wee Kiong dalam pasukan kali ini, Aaron, berkata ia tidak memberi kesan yang besar memandangkan semua pasangan yang disenaraikan mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing.

"Bagi saya beza tidak banyak. Walaupun kedudukan ranking V Shem-Wee Kiong tinggi sedikit manakala Izzuddin-Sze Fei mungkin ranking rendah sedikit, tetapi mana-mana pasangan yang pergi pun, memang beregu kita tetap kuat.

"Ini kerana setiap beregu ada kelebihan, gaya permainan dan strategi yang berbeza. Saya fikir beregu mana yang pergi pun, kita tetap ada kelebihan," kata Aaron.

Berita Harian X