Isnin, 17 Ogos 2020 | 4:53pm
 Wong Choong Hann gembira dengan semangat juang barisan pemain sepanjang saingan Kejohanan Jemputan BAM yang berakhir minggu lalu. - NSTP/Owee Ah Chun
Wong Choong Hann gembira dengan semangat juang barisan pemain sepanjang saingan Kejohanan Jemputan BAM yang berakhir minggu lalu. - NSTP/Owee Ah Chun

BAM puas hati, matlamat anjur badminton jemputan tercapai

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemain dan penganjuran Kejohanan Jemputan BAM yang berjaya mencapai matlamatnya.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann juga gembira melihat keterujaan dan semangat juang barisan pemain mendapatkan kembali rentak sepanjang kejohanan tertutup bermula dengan Divisyen Dua pada 5 Ogos di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Menurut beliau, satu mesyuarat pasca kejohanan akan diadakan bagi membincangkan untuk meneruskan penganjuran kejohanan jemputan sementara menunggu kejohanan antarabangsa yang tergendala susulan pandemik COVID-19 bersambung semula.

"Semua pemain menikmati dan teruja dengan pertandingan ini, nampak semangat juang mereka dalam setiap perlawanan. Memang setiap pertandingan ada menang dan kalah, tetapi kami boleh lihat kejohanan ini dihargai oleh setiap pemain.

"Mungkin belum 100 peratus dapat semula suasana kejohanan tetapi sekurang-kurangnya bagi pihak jurulatih, kami boleh ambil kesempatan ini untuk menilai jika ada kekurangan dari segi corak dan program latihan yang boleh ditambah baik. Kadang-kadang kami tidak dapat lihat 'blindspot' jika hanya menjalani latihan semata-mata," katanya.

Dalam pada itu, Choong Hann turut memuji prestasi pemain muda yang bijak mengambil kesempatan mempamerkan aksi cemerlang dengan mengatasi pemain lebih berpengalaman pada kejohanan berkenaan menyaksikan Ng Tze Yong muncul juara perseorangan lelaki selepas mengalahkan Leong Jun Hao 21-13, 21-8.

Bagi saingan perseorangan wanita pula, Soniia Cheah menundukkan Eoon Qi Xuan, 21-16, 25-23 dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mudah menewaskan Pearly Tan-M Thinaah, 21-14, 21-17 dalam acara beregu wanita.

Sementara itu, Choong Hann berkata skuad badminton negara dilihat mempunyai sedikit kelebihan menjelang aksi Piala Thomas dan Uber kerana sudah memulakan latihan dan kejohanan, berbanding beberapa negara lain yang masih bergelut menangani pandemik COVID-19.

Katanya, BAM juga mempunyai pilihan untuk menganjurkan simulasi kejohanan sebagai persediaan ke kejohanan berkenaan yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 11 Oktober di Aarhus, Denmark.

"Ada negara yang belum memulakan persediaan penuh dengan lebih kurang enam minggu lagi (Piala Thomas dan Uber)…Kami bukan yang terbaik atau paling teruk dari segi persiapan, cuma saya katakan kami perlu lakukan persiapan terbaik. Saya harap ia tidak ditangguhkan lagi.

"Bagaimanapun, untuk Road to Tokyo (kelayakan Olimpik), tanpa maklumat terperinci, saya rasa masa masih panjang. Saya tidak fikir terlalu banyak kelebihan kerana semua menghadapi situasi sama dan kepada pemain handalan profesional, enam bulan untuk bersedia pada tahap terbaik adalah mencukupi. Jadi, saya tidak mahu katakan ini satu kelebihan kerana keadaan kami lebih baik (daripada yang lain)," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X