Khamis, 13 Ogos 2020 | 10:01pm
Lee Zii Jia (kiri) tewas kepada Soong Joo Ven 19-21, 21-11, 27-29. - Foto NSTP
Lee Zii Jia (kiri) tewas kepada Soong Joo Ven 19-21, 21-11, 27-29. - Foto NSTP

Joo Ven kejutkan Zii Jia aksi jemputan BAM

KUALA LUMPUR: Mimpi ngeri yang dibimbangkan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia untuk tidak tewas di tangan pemain yang berada di bawahnya akhirnya menjadi kenyataan.

Pemain ranking ke-10 dunia itu tewas dalam aksi penuh dramatik di tangan wakil profesional, Soong Joo Ven 19-21, 21-11, 27-29 pada saingan Divisyen 1 Kejohanan Jemputan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Aksi kedua-dua pemain itu berlangsung selama satu jam 20 minit.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan bagaimanapun, berkata tiada apa yang perlu dibimbangkan susulan kekalahan dialami Zii Jia itu kerana ini juga adalah kesan daripada sudah terlalu lama tidak beraksi dalam sebarang kejohanan kompetitif.

"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, kejohanan ini memang mencabar buat Zii Jia.

"Mereka sudah menjalani latihan bersama dan tahu corak permainan masing-masing. Joo Ven juga menang dengan keputusan sama seperti ini semalam dan standard mereka memang lebih kurang sama," kata Hendrawan selepas tamat perlawanan itu.

Dia yang mara ke separuh akhir Seluruh England, Mac lalu membuka kempen kejohanan yang diadakan mengikut format liga sepusingan itu dengan penuh bergaya apabila melakar kemenangan ke atas kedua-dua lawannya - Lim Chong King dan Aidil Sholeh Ali Sadikin, semalam.

Berita Harian X