Rabu, 22 Julai 2020 | 11:16pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao. - Foto Abdullah Yusof
Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao. - Foto Abdullah Yusof

Jun Hao harap tak tercicir ke Aarhus

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao tidak rela namanya tercicir daripada membarisi skuad negara bagi menghadapi saingan Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark Oktober depan.

Walaupun sedar berdepan saingan sengit daripada beberapa lagi rakan sepasukan termasuk dua pemain profesional, Liew Daren dan Soong Joo Ven, Jun Hao bertekad membuktikan kemampuannya sekali gus memikat barisan jurulatih.

"Kehadiran Daren dan Joo Ven menghadirkan persaingan yang sihat antara kami untuk merebut tempat. Ia satu cabaran dan motivasi juga untuk saya melakukan yang terbaik.

"Apa pun, saya serahkan kepada jurulatih untuk buat keputusan siapa yang layak dipilih berada dalam pasukan," kata bekas juara remaja Asia itu kepada BH Sukan.

Jika dipilih kali ini, ia akan menjadi penampilan kedua buat pemain berusia 21 tahun itu selepas disenaraikan mewakili negara pada edisi 2018 di Bangkok, Thailand yang menyaksikan Malaysia mara hingga ke suku akhir.

Ketika itu, Jun Hao yang diletakkan sebagai perseorangan keempat di belakang Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainudin hanya diturunkan sekali bertemu Algeria pada aksi peringkat kumpulan.

Hanya Zii Jia pasti akan berada dalam skuad negara kali ini dengan menggalas tugas sebagai perseorangan pertama manakala peranan sebagai perseorangan kedua, ketiga dan keempat menjadi rebutan buat beberapa pemain negara.

Empat pemain muda, Cheam June Wei, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Lim Chong King dan Nge Tze Yong turut mengintai peluang bagi berada dalam skuad negara.

Berita Harian X