Selasa, 14 Julai 2020 | 8:20pm
Peng Soon-Liu Ying turut dipanggil menjalani latihan di ABM.
Peng Soon-Liu Ying turut dipanggil menjalani latihan di ABM.

Korek ilmu senior

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu pemain muda memanfaatkan peluang menimba ilmu menerusi kehadiran pemain profesional yang akan mula menjalani latihan secara bersama di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Seramai lapan pemain profesional melapor diri dan menjalani ujian saringan COVID-19, hari ini sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Thomas, Oktober depan dan Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata kehadiran pemain profesional diharap mampu meningkatkan lagi kualiti latihan pemain kebangsaan.

"Kesemua pemain profesional melapor diri hari ini tetapi mereka perlu menjalani ujian COVID-19 dan perlu mengasingkan diri di rumah sehingga keputusan diperoleh dalam tempoh 24 jam sebelum memulakan latihan bersama.

"Kami harap dengan kehadiran mereka, semua pihak akan mendapat manfaat dari aspek latihan khususnya membabitkan rakan sepelatih yang berkualiti dan juga boleh belajar sesama sendiri.

"Pemain muda boleh belajar teknik dan corak permainan yang bagus daripada pemain berpengalaman.

Pada masa sama, kita mahu pemain muda supaya lebih bekerja keras untuk dekati tahap pemain berpengalaman dengan ada contoh dan teladan daripada mereka," katanya ketika ditemui di ABM, hari ini.

Saingan Piala Thomas dan Uber akan berlangsung di Aarhus, Denmark bermula 3 hingga 11 Oktober.

Antara pemain profesional yang dipanggil untuk menjalani latihan secara bersama bagi persiapan ke Piala Thomas ialah dua pemain perseorangan, Liew Daren dan Soong Joo Ven serta tiga beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut dipanggil bagi menjalani latihan dua kali seminggu di bawah program Road To Tokyo (RTT).

Berita Harian X