X
Ahad, 12 Julai 2020 | 11:45am
BEKAS pakar beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek.
BEKAS pakar beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek.

'Jangan terlalu bagi muka kepada pemain'

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara yang baharu, Flandy Limpele diingatkan agar tidak terlalu memberi muka kepada pemain bagi melancarkan tugasnya melahirkan 'sang juara'.

Bekas pakar beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek, berkata biarpun penting jurulatih dan pemain mempunyai hubungan yang baik, namun ia perlu ada hadnya.

"Saya tidak nafikan penting untuk dia (Flandy) mengenali hati budi pemainnya kerana daripada situ dia boleh tahu apa yang dia perlu lakukan.

"Namun, hubungan dia dengan pemain perlu ada had kerana faktor itulah yang akan membuatkan dia dihormati oleh pemain. Kalau pemain hormat dia, sudah pasti pemain akan berjuang untuk dia.

"Dia perlu pastikan pemain ikut apa yang dimahukannya untuk memastikan pemain menghasilkan keputusan yang dimahukan," kata Jalani kepada BH Sukan.

Flandy selamat tiba di ibu negara dari Indonesia, malam tadi tetapi hanya akan memulakan tugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas selepas menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pemenang pingat gangsa Olimpik Athens 2004 itu dilantik bagi mengambil alih tugas rakan senegara, Paulus Firman yang ditukarkan mengetuai barisan kejurulatihan beregu campuran.

Jalani, berkata Flandy juga tidak boleh mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dan memahami keadaan semasa badminton negara.

Katanya, peminat hanya mahu melihat kepada kejayaan secepat mungkin terutamanya membabitkan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang sehingga kini masih kemarau gelaran antarabangsa sejak digandingkan pada 2017.

"Ini adalah antara cabaran yang perlu dihadapi Flandy. Dia tidak boleh buang masa.

"Aaron-Wooi Yik memiliki kualiti dan pernah mara sehingga final Seluruh England (2019) tetapi kenapa masih belum jadi juara. Jadi, inilah tugas Flandy, bagaimana caranya dia mahu buat pasangan itu jadi juara," kata Jalani.

Berita Harian X