Khamis, 9 Julai 2020 | 6:47pm
Flandy dijadual tiba di Kuala Lumpur malam esok.
Flandy dijadual tiba di Kuala Lumpur malam esok.

Tiada layanan istimewa buat Flandy

KUALA LUMPUR: Tiada layanan istimewa buat ketua jurulatih beregu lelaki negara yang baharu, Flandy Limpele apabila dia tetap perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik tiba dari Indonesia, malam esok sebelum boleh memulakan tugasnya.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negra (MSN), Jefri Ngadirin, berkata jurulatih itu akan ditempatkan di sebuah hotel yang disediakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menjalani kuarantin.

"Walaupun dia sudah melakukan ujian saringan COVID-19 di Indonesia dan keputusannya negatif, tetapi dia tetap perlu melakukan ujian sama apabila tiba di sini nanti.

"Ini adalah SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan KKM (Kementerian Kesihatan) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara)," katanya kepada BH Sukan.

Terdahulu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengesahkan Flandy akan tiba malam esok dan badan induk itu sudah membuat persiapan bagi memastikan jurulatih berkenaan mengikut semua garis panduan yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Flandy, 46, dilantik bagi mengetuai barisan jurulatih beregu lelaki menerusi penstrukturan semula yang dilakukan BAM, Mei lalu.

Dia akan mengambil alih tugas rakan senegaranya, Paulus Firman yang ditukarkan menjadi ketua jurulatih beregu campuran.

BH Sukan, sebelum ini melaporkan Flandy yang memenangi pingat gangsa Olimpik Athens 2004 sudah mempunyai ramuan tersendiri bagi meningkatkan prestasi pemain negara.

Malah, dia sudah mempunyai bayangan terhadap apa yang akan dilakukan bagi membantu pasangan utama negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik bagi menamatkan penantian mereka bergelar juara.

"Selama ini, saya hanya melihat permainan mereka (Aaron-Wooi Yik) menerusi rakaman video. Jadi, untuk merancang program latihan mereka, saya perlu bertemu dengan mereka agar lebih jelas," katanya.

Sejak digandingkan pada 2017, pasangan nombor sembilan itu masih gagal merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa dengan pencapaian terbaik adalah lima kali mara ke final termasuk ketika muncul naib juara Seluruh England 2019.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik berjaya memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Berita Harian X