Selasa, 9 Jun 2020 | 10:35am
Boris Becker
Boris Becker

Jerman sorok isu perkauman - Becker

BERLIN: Boris Becker berkata isu perkauman di Jerman perlu dibincangkan secara terbuka selepas ikon tenis itu dikritik kerana menyertai kempen Black Lives Matter.

Juara enam kali Grand Slam itu mendakwa dia menjadi sasaran kemarahan netizen "dari Jerman" di media sosial selepas menyertai demonstrasi anti perkauman di London hujung minggu lalu.

"Saya mungkin menyentuh isu sensitif apabila bercakap tentang salasilah keluarga saya dan Black Lives Matter.

"Di negara saya ia (isu perkauman) ia tidak diperkatakan dan saya rasa ia amat menyedihkan," kata Becker yang bekas isterinya berbangsa Afrika-Amerika, manakala ibu isteri baharunya datang dari Surinam.

Kematian George Floyd, yang mati dalam tahanan polis pada 25 Mei di Minneapolis, Minnesota, mencetus tunjuk perasaan di seluruh Eropah termasuk Jerman.

Menurut polis Jerman, sekitar 10,000 penunjuk perasaan berkumpul di Alexanderplatz di Berlin pada Sabtu, manakala jumlah hampir sama berdemonstrasi di Munich, Frankfurt dan Hamburg. - AFP

Berita Harian X