Isnin, 1 Jun 2020 | 9:50pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berbual dengan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia selepas pemain itu melaporkan diri menyertai kem latihan pusat RTT di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini. - Foto ihsan Kementerian Belia dan Sukan
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berbual dengan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia selepas pemain itu melaporkan diri menyertai kem latihan pusat RTT di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini. - Foto ihsan Kementerian Belia dan Sukan

Zii Jia kembali bersemangat di Bukit Kiara

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia mengakui hilang motivasi selepas hampir tiga bulan tidak dapat turun ke gelanggang menjalani latihan susulan penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu kembali bersemangat sebaik kerajaan memberi kelonggaran khas kepada atlet di bawah program Road to Tokyo (RTT) untuk menjalani latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

"Sebelum ini saya sering bertanyakan kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan jurulatih bila kami boleh kembali berlatih selepas beberapa kali juga ditangguhkan. Jadi, perkara itu membuatkan saya rasa kurang semangat dan hilang motivasi.

"Namun, semuanya berubah sebaik mendapat berita yang kami sudah boleh berlatih bermula hari ini dan ini pastinya meningkatkan semula motivasi saya," kata Zii Jia yang melaporkan diri bagi menjalani kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, dekat sini, selama 30 hari.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 dan sandaran utama negara pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan itu, berkata walaupun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat namun ia bukan masalah besar buat dirinya.

"Sebagai pemain profesional, kami perlu berkorban. Saya tidak kisah dengan SOP ketat yang dikenakan kerana ia adalah demi keselamatan kami.

"Saya percaya pemain lain juga tidak kisah dan akan mematuhi setiap SOP yang ditetapkan oleh MSN (Majlis Sukan Negara) dan BAM. Apa yang paling penting adalah kami semua dapat kembali menjalani latihan," katanya yang akan berlatih di bawah bimbingan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan.

Kelonggaran khas yang diberikan kerajaan membabitkan 207 individu termasuk 57 atlet bagi persiapan dan sesi latihan untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun.

Bagaimanapun, mereka semua perlu mematuhi SOP ketat ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan termasuk menggunakan pendekatan kuarantin selama 30 hari bersamaan dua kali tempoh inkubasi.

Pemain perlu menjalani ujian saringan COVID-19 ketika pendaftaran dan menjalani kuarantin sehingga keputusan diperoleh selama dua hari sebelum boleh turun ke gelanggang.

Mereka juga akan menjalani ujian saringan pada hari kelima dan ke-13.

Berita Harian X