Isnin, 1 Jun 2020 | 3:49pm
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melawat Akademi Badmiton Malaysia di Bukit Kiara sebelum kem latihan pusat Road to Tokyo bermula hari ini.
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melawat Akademi Badmiton Malaysia di Bukit Kiara sebelum kem latihan pusat Road to Tokyo bermula hari ini.

Atlet badminton, layar lapor diri

KUALA LUMPUR: Seramai 38 individu termasuk pemain, jurulatih, pegawai perubatan dan pegawai sokongan melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini bagi fasa pertama kem latihan pusat program Road to Tokyo (RTT).

Daripada jumlah itu, sembilan adalah pemain yang berada di bawah program RTT termasuk pemain badminton para manakala sembilan lagi sebagai rakan sepelatih.

Seramai tujuh jurulatih terbabit bagi kem latihan kali ini manakala selebihnya adalah pegawai perubatan yang terdiri daripada enam orang dan tujuh pegawai sokongan.

Kem latihan ini adalah yang pertama sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu yang mana semua latihan atlet negara terpaksa ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia yang ditemui sebelum melaporkan diri hari ini, berkata dia teruja dapat kembali menjalani latihan selepas hampir tiga bulan terpaksa 'berkurung' di rumah.

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melawat Akademi Badmiton Malaysia di Bukit Kiara sebelum kem latihan pusat Road to Tokyo bermula hari ini.
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melawat Akademi Badmiton Malaysia di Bukit Kiara sebelum kem latihan pusat Road to Tokyo bermula hari ini.

"Namun, saya dimaklumkan, latihan tidak akan bermula terus sebaliknya kami perlu menunggu keputusan ujian saringan yang akan dilakukan hari ini. Ia mungkin mengambil masa selama dua hari ini dan sepanjang tempoh itu kami akan dikuarantin," katanya yang berpasangan dengan Soh Wooi Yik.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hadir bagi meninjau sendiri persiapan di ABM sebelum menerima kepulangan pemain dan jurulatih badminton negara.

Beliau diiringi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli.

Selain skuad badminton negara yang menjalani latihan di ABM, skuad pelayaran negara yang berada di bawah program RTT turut melaporkan diri di Pusat Latihan Perahu Layar di Langkawi, hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan semua atlet RTT dibenarkan untuk kembali menjalani latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

Kelonggaran khas itu membabitkan 207 individu termasuk 57 atlet bagi persiapan dan sesi latihan untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun.

Bagaimanapun, mereka semua perlu mematuhi SOP ketat ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan termasuklah menggunakan pendekatan kuarantin (quarantine based approach) selama 30 hari bersamaan dua kali tempoh inkubasi.

Berita Harian X