Jumaat, 29 Mei 2020 | 4:03pm
Yee See (kanan) dipanggil sertai kem latihan pusat RTT.
Yee See (kanan) dipanggil sertai kem latihan pusat RTT.

Yee See ganti Shevon

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran muda negara, Cheah Yee See dipanggil menyertai kem latihan pusat program Road to Tokyo (RTT) yang bermula Isnin ini bagi menggantikan Shevon Lai Jemie yang dimasukkan ke hospital akibat demam denggi, semalam.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann bagaimanapun berkata, nama Shevon yang berpasangan dengan Goh Soon Huat masih dikekalkan dalam senarai bagi latihan pusat sehinggalah dia pulih dan dibenarkan untuk kembali menjalani latihan.

BAM dalam satu kenyataan semalam, memberitahu Shevon terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya selama dua minggu selepas disahkan menghidap demam denggi dan hanya akan kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara apabila benar-benar pulih.

Dalam pada itu, Choong Hann, berkata seramai sembilan pemain di bawah program RTT termasuk atlet para, Cheah Leik Hou akan melapor diri bagi menyertai kem latihan pusat di ABM bermula Isnin ini - latihan pertama selepas hampir tiga bulan tidak berlatih susulan pandemik COVID-19.

"Kita juga memanggil sembilan lagi pemain sebagai 'sparring' untuk pemain RTT termasuklah untuk Leik Hou. Enam jurulatih akan terbabit termasuk saya dan Rashid Sidek sebagai jurulatih Leik Hou," kata Choong Hann.

Pemain RTT yang disenaraikan ialah Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Soniia Cheah (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Soon Hua-Shevon (digantikan sementara dengan Yee See).

Selain Choong Hann, lima jurulatih yang turut akan sertai latihan pusat ialah Hendrawan (perseorangan lelaki), Indra Wijaya (perseorangan wanita), Hoon Thien How (beregu lelaki), Rosman Razak (beregu wanita) dan Paulus Firman (beregu campuran).

Berita Harian X