Isnin, 25 Mei 2020 | 7:12pm
Kenny bersama Pengarah kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.
Kenny bersama Pengarah kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

'Bukan niat penjarakan pemain'

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengingatkan pemain agar tidak mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan apabila kembali menjalani latihan bermula 1 Jun ini.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, SOP ketat yang dikenakan bukan berniat untuk memenjarakan pemain, sebaliknya demi keselamatan mereka sekali gus memastikan latihan berjalan lancar.

"Perkara ini sudah banyak kali kita tekankan kepada pemain iaitu pentingnya mereka mematuhi SOP yang ditetapkan. Mereka perlu faham yang perkara ini sangat serius.

"Mereka perlu tahu objektifnya bagi membolehkan mereka kembali berlatih lebih awal. Lagipun, mereka semua bersetuju dengan SOP yang ditetapkan sebelum KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara) memohon mendapatkan kelonggaran.

"Pemain perlu menggunakan peluang ini dengan membuktikan komitmen mereka dan berlatih dengan bersungguh-sungguh," kata Kenny kepada BH Sukan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan semua atlet Road to Tokyo (RTT) dibenarkan kembali menjalani latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 1 Jun ini.

Kelonggaran khas itu membabitkan 265 individu termasuk 57 atlet bagi persiapan dan sesi latihan untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun.

Bagaimanapun, mereka semua perlu mematuhi SOP ketat ditetapkan KBS termasuklah menggunakan pendekatan kuarantin (quarantine based approach) selama 30 hari bersamaan dua kali tempoh inkubasi.

Kenny berkata, lebih kurang 40 individu termasuk pemain, jurulatih dan pegawai sains sukan terbabit dengan fasa pertama latihan bagi program RTT yang akan memulakan latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara itu.

"Selain pemain yang kita sasarkan layak ke Sukan Olimpik, ada juga pemain yang dipanggil untuk menjadi rakan sepelatih," katanya.

Berita Harian X