Isnin, 18 Mei 2020 | 8:23pm
BAM optimis kehadiran Flandy (belakang) mampu tingkatkan prestasi beregu lelaki.
BAM optimis kehadiran Flandy (belakang) mampu tingkatkan prestasi beregu lelaki.

Flandy bukan jurulatih 'biasa-biasa'

KUALA LUMPUR: Nama Flandy Limpele mungkin tidak besar berbanding jurulatih terkemuka dunia yang lain namun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) percaya dia memiliki kualiti jurulatih yang dimahukan badan induk itu.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata pemilihan Flandy dari Indonesia sebagai ketua jurulatih beregu lelaki dibuat berdasarkan kewibawaannya yang berjaya mentransformasikan pemain di bawah kendaliannya menjadi pasangan yang lebih baik.

"Kalau kita lihat ketika dia membimbing skuad India, kita boleh nampak peningkatan yang ditunjukkan beregu negara itu (Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia tahun lalu).

"Kalau orang mahu bandingkan siapa pemain yang mempunyai nama besar dia bawa, memang saya tidak boleh kata apa-apa. Namun, kami buat penilaian berdasarkan peningkatan prestasi yang ditunjukkan pemain bimbingannya sebelum ini dan itu adalah kriteria yang utama.

"Kami percaya dengan kehadirannya, kita mampu meningkatkan lagi prestasi pemain negara," kata Choong Hann kepada BH Sukan.

Menerusi penstrukturan semula barisan kejurulatihan yang diumumkan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kelmarin, jurulatih berusia 46 tahun itu yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Athens 2004 akan mengambil alih tempat Paulus Firman yang ditukarkan mengetuai skuad beregu campuran.

Limpele akan dibantu oleh dua lagi jurulatih iaitu Rosman Razak yang ditukarkan daripada beregu wanita selain Hoon Thien How.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai pemilihan bekas pemain kebangsaan, Chan Chong Ming sebagai ketua jurulatih beregu wanita, Choong Hann, berkata ia adalah bagi menyuntik nafas baharu dalam acara itu biarpun kurang pengalaman dalam kejurulatihan skuad kebangsaan.

"Dia pernah menjadi beregu lelaki nombor satu dunia dan mempunyai pencapaian yang baik ketika bergelar pemain. Saya percaya pengalamannya itu mampu membantu meningkatkan prestasi barisan pemain beregu wanita.

"Kami akan beri dia ruang dan peluang yang secukupnya untuk dia tampil dengan ideanya bagi merencana program latihan skuad beregu wanita. Saya percaya kehadiran Chong Ming mampu memperbaiki kelemahan yang ada dalam skuad beregu wanita," katanya.

Chong Ming yang juga pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia sebanyak dua kali akan dibantu Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui yang ditukarkan daripada beregu campuran.

Berita Harian X