Jumaat, 15 Mei 2020 | 9:19pm
BEREGU campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
BEREGU campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Peng Soon-Liu Ying gandingan profesional pertama sertai latihan skuad kebangsaan

KUALA LUMPUR: Beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying akan menjadi pemain profesional pertama dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik di Jepun.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata berdasarkan kedudukan ranking terkini gandingan itu, mereka hampir pasti mengesahkan slot ke Tokyo 2020.

Sebelum Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menangguhkan semua kejohanan termasuk kelayakan ke Olimpik Tokyo susulan pandemik COVID-19, Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 berada di kedudukan ketujuh ranking dunia dan kelayakan ke Olimpik.

"Status Peng Soon-Liu Ying memang hampir pasti. Saya percaya BWF akan berlaku adil kepada semua pemain dan tidak banyak perubahan yang dilakukan mereka berhubung pusingan kelayakan ke Olimpik Tokyo.

"Kehadiran Peng Soon-Liu Ying berlatih bersama pemain kebangsaan sudah pasti sesuatu yang positif dan akan memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak," kata Choong Hann kepada BH Sukan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan, minggu lalu, berkata sebaik program latihan skuad kebangsaan kembali bersambung, badan induk itu akan menjemput pemain profesional yang hampir pasti layak ke Tokyo berlatih di ABM sebanyak dua kali seminggu bermula pertengahan Julai depan.

Dan sebaik mengesahkan tempat ke Olimpik Tokyo, mereka akan dijemput menjalani latihan secara sepenuh masa di ABM.

Dalam pada itu, Choong Hann memberitahu BAM turut mempertimbangkan untuk memanggil beregu lelaki profesional yang juga pemenang perak Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk berlatih bersama selepas mereka dilihat masih berpeluang layak ke Tokyo.

Walaupun berada di kedudukan ke-14 dunia dan kelayakan ke Olimpik, namun V Shem-Wee Kiong dilihat berpeluang menyertai pasangan kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam kelompok lapan terbaik dunia.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil dalam acara beregu sekiranya masing-masing berada dalam kelompok lapan terbaik.

"Kami turut mempertimbangkan untuk memanggil V Shem-Wee Kiong tetapi ia perlu dibawa ke mesyuarat C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) terlebih dahulu.

"Berdasarkan ranking, mereka masih ada peluang dan siapa tahu kita boleh ada dua pasangan layak ke Olimpik Tokyo biarpun realistiknya mungkin sukar. Namun, kami tidak mahu menutup peluang siapa-siapa untuk mencuba," katanya.

Berita Harian X