Jumaat, 8 Mei 2020 | 11:40am

Terima kasih BAM!

KUALA LUMPUR: Langkah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjemput pemain profesional yang hampir layak ke Sukan Olimpik Tokyo menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara disifatkan keputusan tepat.

Pemain beregu campuran profesional, Goh Liu Ying menyambut baik langkah berkenaan sambil menyifatkan ia akan memberi kebaikan kepada semua pihak khususnya dari aspek rakan sepelatih yang lebih berkualiti.

"Ini satu keputusan yang baik dan saya fikir memang bagus jika dapat berlatih bersama dengan skuad kebangsaan... ini akan memberi kebaikan kepada semua pihak.

"Lagi pun, BAM ada kemudahan yang lebih baik berbanding apa yang kami ada di luar," kata Liu Ying kepada BH Sukan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan kelmarin, berkata sebaik program latihan skuad kebangsaan kembali bersambung, badan induk itu akan menjemput pemain profesional yang hampir pasti layak ke Tokyo berlatih di ABM sebanyak dua kali seminggu bermula pertengahan Julai depan.

Selain itu, sebaik mengesahkan tempat ke Olimpik Tokyo, mereka akan dijemput menjalani latihan secara sepenuh masa di ABM.

Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 bersama gandingannya, Chan Peng Soon kini di landasan tepat dan hampir pasti layak ke Tokyo berdasarkan kedudukan ranking semasa mereka di tangga ketujuh dunia.

Norza dalam kenyataan sama turut memaklumkan badan induk itu turut membuka pintu kepada pemain profesional bagi disenaraikan dalam skuad negara menghadapi saingan Piala Thomas/Uber 2020 di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober depan.

Pemain beregu lelaki profesional, Goh V Shem memuji sikap terbuka BAM itu dan sentiasa bersedia sekiranya dipanggil bagi menggalas cabaran bersama skuad negara.

"Ia sesuatu yang baik sekiranya dapat kembali berlatih bersama BAM, ini berita yang positif.

"Jika BAM memanggil kami untuk beraksi dalam saingan Piala Thomas, sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik untuk negara," kata V Shem yang berpasangan bersama Tan Wee Kiong.

Berita Harian X