X
Rabu, 18 March 2020 | 11:55pm
BEKAS jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei . NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
BEKAS jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei . NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Kau mungkin ok, tapi yang mati nanti orang tersayang'

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menasihatkan rakyat Malaysia supaya duduk di rumah susulan penularan wabak COVID-19.

Menurut pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu, mereka juga dinasihatkan supaya tidak balik kampung seperti cuti raya selepas kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

“Saya minta tolong semua duduk di rumah jangan keluar sementara ini. Jangan balik kampung macam cuti raya. Kau mungkin ok, tapi yang mati nanti orang tersayang.

“Percayalah, mimpi ngeri ini akan berakhir. Jangan panik. Kita warga Malaysia tak kira bangsa dan agama berganding bahu, bertolak ansur, tolong menolong, hari itu akan sampai dengan lebih cepat,” katanya menerusi status terbaharu di Facebook miliknya.

Chong Wei juga berkongsi kisah lucu ketika berkunjung ke sebuah pasaraya selepas isterinya, Datin Wong Mew Choo memintanya membeli barangan dapur dua hari lalu.

“Dua hari lalu, ada khabar angin kawalan pergerakan berkenaan coronavirus ini. Jadi Mew Choo pun suruh pergi beli apa yang patut untuk dua minggu ni. Dia add maths (matematik tambahan) lagi pandai, jadi saya ikut ‘shopping list’ isteri.

“Family empat orang, ayam lima ekor, beras satu beg, sayur (untuk) dua minggu, maggi dua pek, telur dua dozen, buah, toilet paper (tisu tandas) satu beg.

“Tapi bila sampai supermarket (pasaraya), aduhai! Ramainya makcik dan pakcik berlumba maraton dengan troli. Kalah Khairul Hafiz Jantan!.

“Nasib baik sempat lagi dapatkan ‘shopping list’ isteri. Tapi tisu tandas saya terlambat. Ternganga saya tengok mamat depan tapao (borong) 10 beg tisu jamban,” katanya.

Chong Wei yang menggantung raket akibat kanser hidung mengakui dia bernasib baik apabila seorang rakannya berada di situ menegurnya dan memberikan lebihan tisu tandas yang diambilnya.

“Dia Nazir, sahabat yang tinggal berhampiran. Kita tergelak dan berbual sedikit. Selepas itu makin ramai ‘gangster troli serbu’, saya pun terus cabut sebab tahu virus ini merebak (dengan) mudah,” katanya.

“Kawan sekalian, saya berharap agar jangan cemas menghadapi krisis ini. Simpanlah makanan tapi berpatutanlah bilangannya,” katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X