Isnin, 16 March 2020 | 10:19am
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

Zii Jia tunggu masa je...

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak perlu lagi berasa 'kecil' dengan dia kini dilihat sudah mampu berdiri sama tinggi dengan jaguh badminton dunia yang lain.

Pencapaiannya di Seluruh England dengan mara sehingga separuh akhir menjadi saksi yang dia hanya menunggu masa untuk 'meletup' di pentas antarabangsa.

Beberapa pemain berprofil tinggi berjaya ditumbangkannya termasuklah Jonatan Christie dari Indonesia selain bintang sensasi China yang juga juara Olimpik Rio 2016, Chen Long dalam laluannya ke kelompok empat terbaik.

Kisah donggeng yang dicipta Zii Jia berakhir di pentas separuh akhir apabila dia tewas di tangan idolanya dari Denmark, Viktor Axelsen dalam pertarungan tiga set yang berlanjutan selama 73 minit.

Axelsen yang juga bekas juara dunia selepas perlawanan mengakui tidak terkejut dengan peningkatan prestasi Zii Jia dan menyifatkan dia bernasib baik berjaya memenangi aksi berkenaan sekali gus mara ke pentas final.

"Saya cuba untuk kekal fokus dan melakukan yang apa sepatutnya. Dia (Zii Jia) bermain dengan baik dan menjadikan perlawanan lebih sukar.

"Saya gembira kerana berjaya untuk kekal tenang dan bernasib baik di hujung perlawanan kerana kami berdua mempunyai peluang yang sama bagi memenangi perlawanan.

"Saya tidak terkejut dengan permainannya. Saya pernah melihat permainan dia sebelum ini malah saya tewas di tangannya di Korea (tahun lalu). Jadi, saya tidak terkejut dengan peningkatan prestasinya.

"Kami berkongsi corak permainan yang sama. Dia memiliki permainan secara menyerang dan sangat kuat secara fizikal. Ia perlawanan yang sukar untuk kami berdua," kata Axelsen.

Sementara itu, Zii Jia, berkata penampilan sulungnya dalam saingan Seluruh England kali ini memberikan pengalaman yang cukup penting bagi mempersiapkan diri menjadi pemain terbaik dunia.

"Walaupun tewas, saya dan Axelsen sudah bersaing sengit untuk membuktikan siapa saja boleh menang seterusnya mara ke final.

"Saya perlu bekerja keras untuk mempersiapkan diri supaya lebih bertenang dan mempunyai keazaman tinggi ketika di saat getir dalam mana-mana perlawanan," kata pemain ranking ke-13 dunia itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X