Selasa, 25 Februari 2020 | 10:56am
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto Osman Adnan
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto Osman Adnan
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto Osman Adnan. - Foto Luqman Hakim Zubir
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto Osman Adnan. - Foto Luqman Hakim Zubir

Aaron-Wooi Yik belum angkat bendera putih

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih belum berputus asa dalam usaha merealisasikan misi memburu gelaran sulung di pentas antarabangsa.

Sejak digandingkan pada 2017, pasangan nombor lapan dunia itu masih gagal merekodkan sebarang gelaran juara dengan peluang terbaik mereka untuk melakukannya pada saingan Masters Sepanyol, minggu lalu turut menempui noktah kegagalan.

Pada kejohanan di Barcelona itu, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua terkandas di separuh akhir selepas tewas di tangan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Bagaimanapun, Aaron ketika dihubungi BH Sukan, berkata kekalahan itu tidak melunturkan semangat mereka sebaliknya akan menjadi tonik untuk terus bekerja keras bagi merealisasikan impian yang masih belum kesampaian.

"Kami banyak melakukan kesilapan mudah termasuklah membabitkan pukulan servis sejak peringkat suku akhir lagi. Saya fikir itu yang menjadi punca kegagalan kami.

"Apa pun, kami perlu lupakan segera kegagalan ini. Kami ada lagi kejohanan selepas ini dan akan terus berusaha untuk mendapatkan gelaran pertama kami," kata Aaron.

Fokus Aaron-Wooi Yik kini beralih kepada persiapan menghadapi saingan Terbuka Jerman yang dijadual bermula 3 hingga 8 Mac ini sebelum ke Birmingham untuk saingan Seluruh England yang berlangsung 11 hingga 15 Mac.

Sebagai persiapan menghadapi kejohanan itu, Aaron-Wooi Yik dan beberapa lagi wakil negara 'berkampung' di Perancis bagi menjalani kem latihan di negara berkenaan sejurus cabaran mereka di Barcelona berakhir.

Aaron mengharapkan latihan di Perancis dapat menyuntik semula semangat mereka bagi meneruskan misi memburu gelaran sulung di pentas antarabangsa.

Di Jerman, pasangan itu yang diletakkan sebagai pilihan kelima akan membuka tirai kempen menentang beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol manakala di Birmingham mereka yang turun dengan status sebagai naib juara edisi 2019 bakal memulakan aksi berdepan rakan senegara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

Berita Harian X