Selasa, 25 Februari 2020 | 10:55am
PENGARAH Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. - Foto Owee Ah Chun
PENGARAH Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. - Foto Owee Ah Chun

BAM rancang latihan ala tentera

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah mempunyai perancangan bagi mempersiapkan barisan pemain negara menghadapi dua kejohanan besar tahun ini - Piala Thomas/Uber 2020 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata untuk saingan Piala Thomas/Uber di Aarhus, Denmark bermula 16 hingga 24 Mei depan, skuad lelaki dan wanita negara akan memasuki kem latihan pusat sejurut tamat Kejohanan Badminton Asia yang berakhir pada 25 April.

"Kemungkinan besar ia hanya akan diadakan di dalam negara namun kita merancang program terbaik sepanjang latihan pusat itu nanti. Ini termasuklah bagi meningkatkan motivasi pemain, mengukuhkan kerjasama secara berpasukan selain mempersiapkan mereka dari aspek mental dan fizikal.

"Kami juga merancang untuk menjalin kerjasama dengan pihak tentera ketika latihan pusat nanti dan mendapatkan pengisian yang boleh dimanfaatkan oleh pemain. Namun, perkara ini masih di peringkat perancangan dan kita akan maklumkan apabila sudah ada kata putus," kata Choong Hann.

Skuad lelaki dan wanita negara melakar mara ke pusingan akhir Piala Thomas/Uber secara merit selepas masing-masing berjaya mara sehingga separuh akhir pada Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina, dua minggu lalu.

Malah, skuad lelaki berjaya mara sehingga final sebelum tewas di tangan Indonesia untuk muncul naib juara.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan menghadapi Olimpik Tokyo 2020, Choong Hann memberitahu semua pemain negara yang layak beraksi akan berkampung di Ehime, Jepun sebagai pangkalan latihan sebelum temasya itu berlangsung bermula 24 Julai hingga 9 Ogos.

"Kita sudah pernah menjalani latihan di sana pada hujung tahun lalu menerusi kerjasama yang kita jalinkan dan kita juga akan ke sana sebagai persiapan terakhir sebelum Olimpik.

"Semua kemudahan yang disediakan di sana adalah terbaik dan saya percaya pemain boleh manfaatkan peluang ini bagi mempersiapkan diri sebelum Olimpik bermula. Latihan di Ehime turut akan membabitkan pemain profesional yang layak ke beraksi di Olimpik dan kem latihan ini akan bermula sebaik tamat Terbuka Indonesia (21 Jun)," katanya.

Pusingan kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020 untuk badminton masih lagi berlangsung dan akan berakhir pada hujung April depan.

Berita Harian X