KUALA LUMPUR: Skuad badminton lelaki negara diundi bertemu Korea Selatan pada aksi suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina, esok.
Terdahulu, skuad negara cemerlang apabila muncul juara Kumpulan B selepas menundukkan India 4-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, hari ini.
Jika berjaya menewaskan Korea, Malaysia akan bertemu pemenang perlawanan antara Jepun dengan Taiwan untuk aksi separuh akhir.
Pada aksi menentang India, pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia memastikan mata pertama buat skuad negara apabila menundukkan B Sai Praneeth 21-18, 21-15 sebelum beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih mata kedua menerusi kemenangan ke atas M R Arjun-Chirag Shetty 21-18, 21-15.
India bagaimanapun bangkit merapatkan jurang mata apabila mencatat kemenangan dalam acara perseorangan kedua menerusi K Srikanth yang menewaskan Cheam June Wei 14-21, 21-16, 21-19.
Beregu kedua negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang diturunkan buat kali pertama selepas direhatkan pada perlawanan dengan Kazakhstan, semalam memastikan kemenangan awal skuad negara apabila menyumbang mata ketiga dengan kemenangan ke atas Dhruv Kapila-Lakhsya Sen 21-14, 21-14.
Pemain perseorangan ketiga, Leong Jun Hao turut tidak mengecewakan apabila mencatat kemenangan ke atas H S Prannoy 21-10, 21-15.
Sementara itu, skuad wanita negara yang muncul naib juara Kumpulan W diundi bertemu Taiwan pada aksi suku akhir, esok.
Undian suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia
Lelaki
Indonesia mln Filipina
Thailand mln India
Korea mln Malaysia
Jepun mln Taiwan
Wanita
Jepun mln Indonesia
Taiwan mln Malaysia
Kazakhstan mln Thailand
Singapura mln Korea