Rabu, 29 Januari 2020 | 5:57pm
PEMAIN perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia. NSTP/Eizairi Shamsudin
PEMAIN perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia. NSTP/Eizairi Shamsudin

Skuad lelaki dapat laluan mudah, wanita berdepan tugas berat

KUALA LUMPUR: Pasukan badminton lelaki negara harus tiada masalah melepasi peringkat kumpulan Kejohanan Berpasukan Asia, bulan depan apabila diundi dalam Kumpulan C yang turut disertai Taiwan dan Singapura.

Dalam majllis undian yang berlangsung di Manila, Filipina hari ini, skuad wanita negara pula berdepan tugas getir apabila diundi dalam Kumpulan W yang turut dianggotai Jepun dan Hong Kong.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membariskan gabungan pemain muda dan senior untuk skuad lelaki yang diketuai pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia. Turut berada dalam senarai itu adalah Cheam June Wei, Leong Jun Hao dan Ng Tze Yong.

Selain juara Masters Thailand, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, turut berada dalam senarai beregu negara di Manila nanti adalah pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

Bagi skuad wanita pula, BAM menyenaraikan empat pemain perseorangan Goh Jin Wei, Soniia Cheah, S Kisona dan Eoon Xi Quan dan tiga beregu - Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, Pearly Tan-M Thinaah.

Kejohanan itu akan berlangsung dari 11 hingga 16 Februari depan.

Info

Undian Kejohanan Berpasukan Asia (Kelayakan Piala Thomas/Uber)

Lelaki

Kumpulan A

Indonesia, India, Filipina

Kumpulan B

China, Thailand, Hong Kong

Kumpulan C

Taiwan, Malaysia, Singapura

Kumpulan D

Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan

Wanita

Kumpulan W

Jepun, Malaysia, Hong Kong

Kumpulan X

Korea Selatan, India, Kazakhstan

Kumpulan Y

Thailand, Indonesia, Filipina

Kumpulan Z

China, Taiwan, Singapura

Berita Harian X