Ahad, 26 Januari 2020 | 4:12pm
Norza (kanan) bersalaman dengan Misbun ketika hadir pada majlis resepsi perkahwinan Misbun Ramdan di Dewan Tan Sri Ainuddin UTM, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Azhar Ramli
Norza (kanan) bersalaman dengan Misbun ketika hadir pada majlis resepsi perkahwinan Misbun Ramdan di Dewan Tan Sri Ainuddin UTM, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Azhar Ramli

Misbun sah pengarah teknikal skuad remaja

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Datuk Misbun Sidek akan diberi tanggungjawab sebagai pengarah teknikal skuad remaja negara.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata Misbun akan diangkat sebagai ‘supremo’ kepada barisan kejurulatihan skuad remaja negara dan keputusan akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

“Misbun akan menjadi supremo kepada pemain remaja dan saya akan bentangkan perkara ini untuk mendapatkan kelulusan pengurusan pada minggu pertama Februari,” kata Norza.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis resepsi perkahwinan anak Misbun yang juga bekas juara perseorangan lelaki kebangsaan, Misbun Ramdan di sini, hari ini.

BH Sukan, sebelum ini melaporkan BAM dijangka melakukan rombakan dalam struktur kejurulatihan skuad kebangsaan dengan tumpuan terarah kepada peralihan jawatan membabitkan Misbun.

Misbun (kiri) bersama adik beradiknya, Datuk Razif Sidek, (dua dari kiri) Datuk Seri Jalani Sidek (tiga dari kanan), Rahman Sidek, (dua dari kanan) dan Rashid Sidek (kanan) bergambar bersama pasangan pengantin, Misbun Ramdan dan Maisarah Jannah Jamaluddin pada majlis resepsi di Dewan Tan Sri Ainuddin UTM, Kuala Lumpur. - NSTP/Azhar Ramli

Misbun ketika ini menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih pemain lelaki skuad senior.

Struktur kejurulatihan skuad remaja negara kini diketuai Kwan Yoke Meng sebagai ketua jurulatih.

Sementara itu, Misbun ketika ditanya mengenai perkara itu berkata beliau akur dengan sebarang keputusan yang bakal dilakukan BAM.

“Ada dalam perbincangan, jadi kita tunggu sahaja bila Datuk Norza akan umumkan. Apa pun saya akan akur dan terima sahaja dengan sebulat hati dan suara.

“Apa yang penting saya ada rasa nak bantu (pemain remaja), kalau saya tidak ada rasa nak bantu, itu soal lain.

“Buat masa sekarang, kalau itu yang disarankan untuk kebaikan badminton, saya akur dengan apa yang diberikan,” katanya.

Berita Harian X