Jumaat, 24 Januari 2020 | 12:11pm
Gambar fail, pasangan berpengalaman profesional Korea Selatan, Lee Yong Dae-Kim Gi Jung. - Foto BWF
Gambar fail, pasangan berpengalaman profesional Korea Selatan, Lee Yong Dae-Kim Gi Jung. - Foto BWF

BAM dijangka bawa masuk Yong Dae-Gi Jung

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tampak serius bagi memastikan barisan pemainnya mendapat persiapan terbaik menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan.

BAM ketika ini difahamkan sedang dalam rundingan dengan pasangan berpengalaman profesional Korea Selatan, Lee Yong Dae-Kim Gi Jung bagi membawa mereka menjadi rakan sepelatih buat beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Selepas menggugurkan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin daripada skuad kebangsaan, awal bulan ini, BAM sedar Aaron-Wooi Yik yang menjadi sandaran bagi meraih pingat di Tokyo memerlukan rakan sepelatih berkualiti.

Walaupun menghuni ranking ke-27 dunia namun pengalaman serta kualiti dimiliki Yong Dae-Gi Jung yang muncul juara Masters Malaysia baru-baru ini menjadi salah satu faktor utama membuatkan mereka berada dalam radar badan induk itu untuk dijadikan sebagai rakan sepelatih.

Ketika berada dalam skuad kebangsaan Korea, Yong Dae menikmati pelbagai kejayaan bersama beberapa pasangannya termasuklah memenangi pingat emas beregu campuran pada Olimpik Beijing 2008 menerusi gandingan dengan Lee Hyo-jung.

Gi Jung juga tidak kurang hebatnya apabila dua kali meraih gangsa Kejohanan Dunia bersama Kim Sa Rang selain muncul juara Asia pada edisi 2012.

Jika perancangan BAM menjadi kenyataan, ia pastinya memberi manfaat cukup besar buat Aaron-Wooi Yik yang ketika ini berada di kedudukan nombor lapan dunia bagi meningkatkan prestasi mereka selepas dilihat masih belum konsisten.

Malah, kehadiran pasangan Korea itu juga boleh dimanfaatkan beregu lelaki negara yang lain termasuklah gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

BH Sukan sebelum ini melaporkan, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann mengesahkan dua beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Pearly Tan-M Thinaah bakal berguru selama dua minggu bersama skuad kebangsaan Thailand bermula Isnin ini bagi meningkatkan prestasi mereka.

Kedua-dua pasangan itu akan mendapat bimbingan barisan kejurulatihan beregu wanita Thailand termasuklah sentuhan ketua jurulatih, Rexy Mainaky yang terkenal dengan kepakarannya bagi acara beregu.

Dua pemain perseorangan wanita, Soniia Cheah dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, S Kisona turut dihantar berkelana ke Thailand selama dua minggu bagi menjalani latihan bersama bekas juara dunia, Ratchanok Intanon di Akademi Badminton Banthongyord.

Ketika itu, Choong Hann mengakui usaha turut sedang giat dilakukan bagi merancang program latihan terbaik buat pemain perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran khususnya sebagai persiapan ke Tokyo.

Berita Harian X