Rabu, 22 Januari 2020 | 10:59am
KETUA jurulatih, Rexy Mainaky. NSTP/Mohd Yusni Ariffin
KETUA jurulatih, Rexy Mainaky. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

BAM minta bantuan Rexy

KUALA LUMPUR: Dua beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Pearly Tan-M Thinaah bakal berguru selama dua minggu bersama skuad kebangsaan Thailand bermula Isnin ini.

Kedua-dua pasangan itu akan mendapat bimbingan barisan kejurulatihan beregu wanita Thailand termasuklah sentuhan ketua jurulatih, Rexy Mainaky yang terkenal dengan kepakarannya bagi acara beregu.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha bagi meningkatkan prestasi kedua-dua pasangan berkenaan khususnya Mei Kuan-Meng Yean yang dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan.

"Ini adalah program latihan spesifik yang dirancang membabitkan acara individu. Ia akan bermula sebaik tamat saingan Masters Thailand yang sedang berlangsung ketika ini.

"Untuk Mei Kuan-Meng Yean sudah pasti ini akan menjadi salah satu persiapan mereka bagi menghadapi Olimpik manakala ini adalah peluang buat pasangan muda seperti Pearly-Thinaah bagi menimba pengalaman.

"Kita juga sudah mendapat pengesahan yang mana sepanjang tempoh itu semua beregu wanita terbaik Thailand turut berada di sana.

"Jadi, saya percaya ini akan memberikan kualiti latihan terbaik kepada pemain kita yang akan turut ditemani jurulatih, Rosman Razak," kata Choong Hann kepada BH Sukan.

Latihan di Thailand bakal menyaksikan pasangan negara berpeluang menjalani latihan bersama dua beregu wanita terbaik negara Gajah Putih itu, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dan Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai.

Choong Hann turut memberitahu, dua pemain perseorangan wanita, Soniia Cheah dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, S Kisona turut akan dihantar berkelana ke Thailand selama dua minggu.

Mereka akan menjalani latihan bersama bekas juara dunia, Ratchanok Intanon di Akademi Badminton Banthongyord.

"Saya harap Soniia dan Kisona mengambil peluang ini untuk menimba pengalaman dan meningkatkan prestasi mereka sebaiknya. Mereka juga akan ditemani jurulatih, Loh Wei Sheng," katanya.

Ditanya sama ada program latihan di luar negara turut dirancang buat pemain perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran, Choong Hann berkata usaha ke arah itu sedang giat dilakukan.

"Jika kita tidak dapat berlatih di luar, kita akan cuba bawa masuk rakan sepelatih yang terbaik buat pemain kita. Perkara ini masih dalam perbincangan dan kita akan maklumkan apabila semuanya sudah muktamad.

"BAM sudah pasti berusaha melakukan yang terbaik bagi membantu pemain kita," katanya.

Berita Harian X