Sabtu, 11 Januari 2020 | 8:08pm
Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Hanya yang terbaik ke Piala Thomas - BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan hanya pemain terbaik akan disenaraikan bagi membawa cabaran negara menjelang saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark, Mei depan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata ini termasuklah kemungkinan untuk menyenaraikan pemain profesional dalam skuad negara bagi menghadapi kejohanan berprestij itu.

Beliau gembira dengan persaingan sihat membabitkan pemain naungan BAM dan pemain profesional seperti pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh V Shem-Tan Wee Kiong termasuklah beregu lelaki yang baru digugurkan, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

“Apabila saya buat keputusan mengenai V Shem-Wee Kiong dan Peng Soon-Liu Ying dengan persetujuan kedua-dua pihak, kita bersetuju untuk mewujudkan dua enjin bagi perkembangan pembangunan badminton iaitu di bawah BAM dan profesional.

“BAM seharusnya menjadi tempat buat pemain bawah 23 tahun bagi mencapai impian mereka dengan latihan yang keras manakala pemain senior boleh bermain di luar yang mana mereka tetap boleh mengejar impian mereka dengan kebebasan yang dimahukan.

“Namun, apabila mereka semua layak, mereka akan diletakkan di bawah satu bumbung dan menjalani latihan bersama bagi membawa nama Malaysia.

“Malah, saya (secara berseloroh) katakan dalam mesyuarat hari ini mungkin kita boleh senaraikan Datuk Lee Chong Wei untuk bermain sebagai perseorangan ketiga kerana kita mahu yang terbaik untuk negara. Kami mahu bentuk pasukan yang mantap untuk Piala Thomas.

“Apa pun saya serahkan kepada Wong Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan BAM) untuk membuat keputusan dalam hal ini,” kata Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Norza memberitahu pelantikan bagi jawatan pengarah teknikal skuad remaja negara masih lagi dalam perbincangan dan belum ada keputusan muktamad.

BH Sukan sebelum ini melaporkan BAM dijangka mengubah peranan Datuk Misbun Sidek yang ketika menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih skuad lelaki kebangsaan kepada pengarah teknikal skuad remaja negara.

BAM tidak menafikan Misbun memiliki kualiti yang diperlukan bagi memegang jawatan itu tetapi belum ada kata putus mengenainya.

Berita Harian X