Selasa, 7 Januari 2020 | 9:30pm
Pemain Malaysia, Goh V Shem (kiri) dan Tan Wee Kiong menentang rakan senegara, Soh Wooi Yik bersama Aaron Chia ketika beraksi pada pusingan pertama beregu lelaki Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil, hari ini. - Foto BERNAMA
Pemain Malaysia, Goh V Shem (kiri) dan Tan Wee Kiong menentang rakan senegara, Soh Wooi Yik bersama Aaron Chia ketika beraksi pada pusingan pertama beregu lelaki Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil, hari ini. - Foto BERNAMA

Aaron-Wooi Yik 'ajar' V Shem-Wee Kiong

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui puas apabila dapat menumbangkan senior mereka, Goh V Shem-Tan Wee Kiong 21-19, 21-18 dalam aksi pusingan pertama Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil, hari ini.

Kemenangan itu dianggap suntikan moral terbaik buat Aaron-Wooi Yik yang ketika ini turut bersaing dengan V Shem-Wee Kiong yang kini bergerak secara profesional bagi merebut slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Dengan prestasi yang kami tunjukkan hari ini, memang kami rasa puas apatah lagi kami menang ke atas senior kami.

“Kami pernah menjalani latihan bersama sebelum ini dan memang sudah tahu corak permainan masing-masing," kata Aaron ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Bagaimanapun, naib juara Seluruh England 2019 itu tidak boleh terlalu selesa dalam misi memburu slot ke suku akhir apabila mereka dijangka berdepan tugas sukar untuk aksi pusingan kedua, Khamis ini.

Mereka diramal bertemu pasangan nombor satu dunia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon yang dijangka tidak berdepan masalah untuk menundukkan Lin Chia Yu-Yang Ming-Tse dari Taiwan pada pusingan pertama, esok.

Dalam tiga pertemuan sebelum ini - di Terbuka Malaysia 2018, Terbuka Korea 2019 dan Terbuka Jepun 2019 - Aaron-Wooi Yik tewas semua perlawanan di tangan pasangan Indonesia itu.

"Kami tewas tetapi kami berjaya beri tentangan sengit apabila mengheret sehingga set penentuan.

“Kali ini, kami harap boleh mengubah keputusan itu dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri," kata Wooi Yik.

Berita Harian X