Isnin, 6 Januari 2020 | 5:05pm
BAM dijangka mengubah peranan Misbun yang ketika ini sebagai ketua jurulatih pemain lelaki skuad senior kepada pengarah teknikal skuad remaja negara. - Arkib NSTP
BAM dijangka mengubah peranan Misbun yang ketika ini sebagai ketua jurulatih pemain lelaki skuad senior kepada pengarah teknikal skuad remaja negara. - Arkib NSTP

Bertuah dapat bimbingan Misbun - Chong Wei

KUALA LUMPUR: Pemain badminton remaja negara boleh dianggap bertuah sekiranya mendapat bimbingan daripada Datuk Misbun Sidek.

Pandangan itu disuarakan bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei selepas nama Misbun disebut bakal mengetuai struktur kejurulatihan skuad remaja negara sebagai Pengarah Teknikal.

"Misbun sudah seperti ayah saya dan tidak kisah beliau di mana, saya sentiasa menyokongnya. Beliau seorang jurulatih dan pemain legenda.

"Saya yakin sekiranya beliau melatih pemain remaja, beliau akan melahirkan ramai pemain yang bagus untuk negara. 

"Bertuah pemain muda mendapat bimbingan daripada Misbun," kata Chong Wei ketika ditemui selepas majlis pengumuman pelantikan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sebagai duta 100Plus, hari ini.

BH Sukan sebelum ini melaporkan BAM dijangka mengubah peranan Misbun yang ketika ini sebagai ketua jurulatih pemain lelaki skuad senior kepada pengarah teknikal skuad remaja negara.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengakui Misbun memiliki kualiti yang diperlukan untuk jawatan itu tetapi belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung perkara berkenaan.

Chong Wei yang mendapat sentuhan Misbun sehingga memenangi pingat perak Olimpik pertamanya di Beijing pada 2008, berkata krebiliti jurulatih berusia 59 tahun itu sudah terbukti apabila melahirkan ramai jaguh dunia.

"Saya fikir orang tidak akan lupa yang Misbun sudah melahirkan ramai pemain utama dunia seperti Rashid Sidek, Roslin Hashim, Muhammad Hafiz Hashim dan saya sendiri.

"Jadi, mana-mana beliau pergi pun, beliau tetap yang terbaik. Saya percaya, Misbun akan menunjukkan contoh yang baik kepada pemain muda kerana apa yang paling penting untuk mereka adalah disiplin," katanya.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata badan induk itu mahu menjadikan pendekatan yang digunakan Misbun sebagai contoh bagi memupuk budaya baharu dalam kalangan pemain remaja.

"Misbun cukup pakar dalam melahirkan pemain muda dengan penuh cekal dan disiplin selain membina hubungan yang rapat dengan pemain. Jadi, saya mahu membina perkara itu.

"Kita juga mahu memupuk disiplin yang tinggi dengan menjadikan ia sebagai budaya untuk meletakkan kita satu hari nanti menjadi akademi badminton terbaik dunia," katanya.

Berita Harian X