Ahad, 5 Januari 2020 | 9:14pm
BAM tidak menafikan Datuk Misbun Sidek memiliki kualiti diperlukan bagi mengetuai struktur kejurulatihan skuad remaja negara sebagai pengarah teknikal. - Foto NSTP
BAM tidak menafikan Datuk Misbun Sidek memiliki kualiti diperlukan bagi mengetuai struktur kejurulatihan skuad remaja negara sebagai pengarah teknikal. - Foto NSTP

Misbun ada kualiti - BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menafikan Datuk Misbun Sidek memiliki kualiti diperlukan bagi mengetuai struktur kejurulatihan skuad remaja negara sebagai pengarah teknikal.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata belum ada keputusan muktamad mengenai siapa yang bakal mengisi jawatan itu.

"Ada beberapa lagi faktor yang kami masih pertimbangkan mengenai perkara itu tetapi tidak dinafikan Misbun memiliki kualiti yang diperlukan untuk jawatan itu," kata Kenny kepada BH Sukan.

SETIAUSAHA Agung BAM, Datuk Kenny Goh. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
SETIAUSAHA Agung BAM, Datuk Kenny Goh. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

BH Sukan semalam melaporkan BAM dijangka melakukan rombakan dalam struktur kejurulatihan skuad kebangsaan dengan tumpuan terarah kepada peralihan jawatan membabitkan Misbun.

Misbun ketika ini menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih pemain lelaki skuad senior.

Bagaimanapun, beliau difahamkan menjadi pilihan badan induk itu untuk memikul tugas sebagai pengarah teknikal skuad remaja negara.

Kepakaran dimiliki jurulatih berusia 59 tahun itu dikatakan menjadikan dirinya calon utama BAM untuk memikul tugas berkenaan ketika program latihan skuad remaja negara ketika ini dilihat gagal melahirkan pemain muda berwibawa.

Ketika ini, struktur kejurulatihan skuad remaja negara diketuai Kwan Yoke Meng sebagai ketua jurulatih.

"Kami mencari individu yang mampu membawa skuad remaja negara mencapai tahap prestasi yang lebih tinggi berbanding sekarang.

"Apabila semuanya sudah diputuskan, sudah pasti kami akan mengumumkan mengenai siapa yang dipilih untuk jawatan ini," kata Kenny.

Berita Harian X