Jumaat, 27 Disember 2019 | 6:52pm
Pemain badminton negara, Lee Zii Jia. - Foto BERNAMA
Pemain badminton negara, Lee Zii Jia. - Foto BERNAMA

Ujian sebenar Zii Jia di Perodua Malaysia Masters

KUALA LUMPUR: Selepas menikmati sesi rehat sebelum ke Ehime, Jepun untuk menjalani kem latihan, pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia semakin bersedia memulakan kejohanan pembukaan musim baru di Perodua Malaysia Masters 2020.

Kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF HSBC yang menawarkan wang tunai ke seluruhan AS$400,000 (RM1.6 juta) itu akan diadakan di Arena Axiata, Bukit Jalil dari 7-12 Januari dan menarik minat jaguh jaguh dunia yang sedang giat memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong  ChoongHann menjelaskan sudah tiba masanya untuk Zii Jia menamatkan 2019 dengan noktah kejayaan selepas memenangi pingat emas perseorangan lelaki ketika Sukan SEA 2019 di Filipina.

Pemain berusia 21 tahun itu berdepan cabaran besar dalam aksi pembukaan apabila dijadual berdepan pilihan ketiga yang juga pemain ranking keempat dunia, Anders Antonsen dari Denmark. 

Untuk rekod, Zii Jia tewas dalam dua pertemuan di peringkat suku akhir di Indonesia berdepan Antonsen tahun ini.

Zii Jia tewas straight set 13-21, 13-21 di Daihatsu Indonesia Masters pada penghujung Januari disusuli kekalahan kedua 16-21, 11-21 di Terbuka Indonesia.

“Dia akan berdepan dengan lawan yang sengit, tetapi saya juga mengharapkan permulaan yang baik oleh Zii Jia selepas memenangi pingat emas di Sukan SEA. Ianya suntikan moral untuknya dalam persiapan dan menjangkakan sebarang kemungkinan.

“Zii Jia perlu belajar dan memahami situasi di kejohanan yang lebih besar. Sudah tiba masanya untuk beliau menunjukkan potensi diri apatah lagi beraksi di depan penyokong sendiri,” kata Choong Hann.

Berita Harian X