Isnin, 23 Disember 2019 | 11:26pm
BEREGU wanita negara, M Thinaah-Pearly Tan Koong Le.
BEREGU wanita negara, M Thinaah-Pearly Tan Koong Le.

Pearly-Thinaah tak rela tersingkir awal

Oleh Sukhairi Thani

sukhairi@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Beregu wanita, Pearly Tan Koong Le–M Thinaah tidak mahu aksi sulung mereka pada kejohanan badminton Masters Malaysia PERODUA 2020 pada 7 hingga 12 Januari ini berakhir dengan mudah.

Pertama kali menyertai kejohanan bertaraf Super 500, gandingan Pearly-Thinaah dijadual memulakan saingan dalam pusingan kelayakan berdepan beregu dari Denmark, Alexandra Boje– MettePoulsen.

Sekiranya menang, Pearly –Thinaah akan beraksi di pusingan pertama undian utama dan dijangka berdepan pemenang satu lagi pusingan kelayakan antara rakan sepasukan, Anna Ching Yik Cheong–Lim Chiew Sen dan beregu dari Indonesia, Anggia Shitta Awanda–Pia Zebadiah Bernadet.

Meskipun masih mencari rentak untuk menyesuaikan diri dalam acara bergu, Thinaah percaya komunikasi yang baik bakal membantunya merencana strategi ketika berdepan lawan.

“Meskipun masih baru dalam acara beregu selepas beralih daripada perseorangan, kami memperoleh pelbagai pengalaman samada baik atau sebaliknya. Apa yang penting adalah berbincang dan membentuk komunikasi yang lebih baik antara kami berdua selepas tamat perlawanan.

“Tahun 2020, kami akan cuba memberi fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan dan mempertingkatkan lagi ranking untuk beraksi di kejohanan yang lebih tinggi,” kata Thinaah.

Tambah pemain berusia 21 tahun ini, dia tidak mahu memfokuskan sasaran di PERODUA Masters Malaysia, sebaliknya memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang akan diharungi.

Rakan seperjuangan Thinaah, Pearly yang juga naib juara Kejohanan Remaja Dunia 2018 dalam acara beregu wanita yakin barisan kejurulatihan mempunyai perancangan untuknya dan Thinaah sebelum turun ke gelanggang di Arena Axiata bagi mengharungi pusingan kelayakan.

“Jurulatih akan memberi tumpuan yang lebih terutama kemahiran dan kekuatan. Meskipun belum berusia setahun sejak kami berdua digandingkan, ada kejohanan yang membanggakan kami dan ada juga yang mengecewakan.

“Kami memenangi dua gelaran juara di peringkat Cabaran Antarabangsa (International Challenge) dan Siri Antarabangsa (International Series). Ianya permulaan yang baik dan saya berharap 2020 kami akan meraih lebih banyak gelaran di kejohanan yang lebih tinggi seperti Super 100,” kata Pearly.

Masters Malaysia PERODUA 2020 adalah kejohanan berstatus Super 500 oleh Pesekutuan Badminton Dunia (BWF) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$400,000 (RM1.6 juta).

Berita Harian X