Rabu, 18 Disember 2019 | 11:49pm
Beregu negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik. - NSTP/Osman Adnan
Beregu negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik. - NSTP/Osman Adnan

Persaingan ke Tokyo makin 'panas'

 

KUALA LUMPUR: Persaingan memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 membabitkan dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong semakin 'panas'.

Kedua-dua pasangan itu akan memulakan aksi tahun baharu dengan pertembungan antara satu sama lain pada pusingan pertama Masters Malaysia bermula 7 hingga 12 Januari depan.

Bagaimanapun, undian kali ini dianggap mencabar buat kedua-dua pasangan kerana jika menang sekalipun, mereka dijangka bertemu pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo di pusingan kedua.

Beregu lelaki negara, Goh V Shem bersama Tan Wee Kiong. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Beregu lelaki negara, Goh V Shem bersama Tan Wee Kiong. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

"Undian kali ini tidak mudah. Di pusingan pertama lagi kami sudah bertemu V Shem-Wee Kiong. Kami pernah berlatih bersama sebelum ini dengan V Shem-Wee Kiong (sebelum mereka keluar daripada skuad kebangsaan) dan mereka adalah senior kami.

"Peluang adalah 50-50 antara kami. Pemenang akan ditentukan berdasarkan prestasi pada hari perlawanan," kata Aaron kepada BH Sukan.

Ranking kelayakan ke Tokyo menyaksikan Aaron-Wooi Yik yang masih segar dengan kejayaan memenangi pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina mendahului apabila berada di keduduka ke-10 manakala V Shem-Wee Kiong di tangga ke-12.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil jika masing-masing berada dalam kelompok lapan terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan pada hujung April depan.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia turut berdepan laluan berliku apabila diundi bertemu pilihan ketiga dari Denmark, Anders Antonsen di pusingan pertama.

Berita Harian X