Selasa, 17 Disember 2019 | 9:51pm
PEMAIN perseorangan lelaki, Lee Zii Jia (kiri) dan perseorangan wanita, S Kisona.

Zii Jia, Kisona paling menyerlah

 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan perseorangan wanita, S Kisona dilabel sebagai pemain paling menyerlah dalam skuad badminton kebangsaan bagi tahun 2019.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata kedua-dua pemain berkenaan menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara berbanding pemain lain.

"Kisona membuktikan dia pemain yang berkaliber dan kemuncaknya sudah pasti apabila dia memenangi pingat emas Sukan SEA 2019. 

"Dia mengejutkan beberapa pemain yang berada dalam kelompok 25 terbaik dunia (Nitchaon Jindapol dari Thailand dan Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia) dalam laluannya ke final.

"Untuk pemain di tahap sepertinya, pencapaianya boleh dianggap cemerlang," kata Choong Hann kepada BH Sukan.

Sebelum Sukan SEA, Kisona yang menghuni ranking ke-103 dunia turut muncul juara pada saingan Siri Antarabangsa Hellas dan Siri Antarabangsa Sydney.

Mengulas mengenai Zii Jia, Choong Hann menyifatkan pemain berusia 21 tahun itu menunjukkan peningkatan cukup baik sejak awal tahun.

"Pada awal tahun dia berada dalam kelompok 40 terbaik dunia tetapi kini di kedudukan ke-14 dunia.

"Bukan mudah untuk melakukannya apatah lagi dalam acara perseorangan lelaki. Ditambah pula selepas ketiadaan Datuk Lee Chong Wei (bersara) yang mana fokus semua terarah kepada dirinya.

"Dia berjaya mengawal tekanan dengan baik dan dapat menerima senario sebenar selepas ketiadaan Chong Wei. Dia menunjukkan kemahuan tinggi.

"Walaupun ada ketika dia turut bergelut dengan prestasi tidak menentu namun itu adalah proses yang perlu dilaluinya untuk lebih berjaya. Ini jugalah yang membuatkan dia kini semakin matang," katanya.

Prestasi Zii Jia boleh dianggap konsisten sepanjang tahun ini apabila dia melangkah ke suku akhir sebanyak 10 kali dalam 21 kejohanan disertainya selain dua separuh akhir dan menutup tirai kalendar 2019 dengan memenangi pingat emas Sukan SEA.

 

 

Berita Harian X