Jumaat, 13 Disember 2019 | 9:03pm
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seharusnya menerima setiap pandangan atau kritikan dengan hati terbuka. - NSTP/Saifullizan Tamadi

BAM wajar terima kritikan secara terbuka - Zolkples

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seharusnya menerima setiap pandangan atau kritikan dengan hati terbuka.

Menurutnya, persatuan berkenaan juga tidak boleh terlalu mudah melatah, sebaliknya menjadikan segala kritikan sebagai perkara positif untuk mempersiapkan pasukan badminton negara pada tahap terbaik ke Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan.

Katanya, kenyataan beliau terhadap pencapaian skuad badminton di Sukan SEA Filipina sebagai 'wake-up call' atai isyarat buat BAM ketika cabaran lebih besar bakal menanti mereka di Tokyo dalam tempoh tidak sampai setahun lagi.

"Mereka macam tak nak terima kenyatan yang kita masih di belakang. Harus diingat badminton adalah penyumbang terbesar pingat di Sukan Olimpik, jadi sandaran lebih tinggi akan diletakkan oleh rakyat Malaysia ke atas sukan itu.

"Bila kita menang tiga pingat perak di Olimpik Rio, jadi kita perlu perbaiki lagi pencapaian itu di Tokyo nanti. Itu sebenarnya apa yang saya cuba sampaikan dalam kenyataan sebelum ini.

"Saya tidak menghentam pemain kerana tugas pemain adalah berlatih dan memberikan persembahan terbaik. Saya juga tidak menghentam Menteri Belia dan Sukan dan saya hanya minta menteri melakukan bedah siasat atas kegagalan mencapai sasaran di Sukan SEA," katanya kepada BH Sukan.

Akhbar ini semalam melaporkan BAM meluahkan kesal dan sedih dengan kenyataan Zolkples yang menyentuh prestasi skuad badminton negara di Sukan SEA Filipina.

Ia susulan kenyataan Zolkples yang bertajuk 'Surat Terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan' yang disiarkan akhbar ini kelmarin yang mengulas mengenai kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 70 pingat emas pada temasya berkenaan.

Malah, kenyataan BAM turut menuntut Zolkples untuk memberikan sokongan dalam usaha membentuk skuad badminton kebangsaan yang mantap dan dibarisi pemain muda dan bukannya menggunakan mereka sebagai bahan meluahkan perasaan sakit hati kepada pihak tertentu.

Namun, Zolkples menegaskan kenyataan yang dikeluarkan beliau itu tidak membabitkan apa-apa kepentingan individu, sebaliknya ia diluahkannya kerana perasaan sayang terhadap sukan tanah air.

Berita Harian X