Ahad, 8 Disember 2019 | 6:10pm
PERSEORANGAN lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto Osman Adnan

4 wakil negara mara ke final badminton

MANILA: Skuad badminton mempunyai peluang terhidang bagi membawa pulang empat pingat emas dalam acara individu Sukan SEA 2019 selepas empat wakil negara mara ke final.

Atas kertas, perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memiliki peluang lebih tinggi untuk menghadirkan kilauan emas pada saingan kali ini.

Zii Jia yang menghuni ranking ke-14 dunia mara selepas menewaskan pemain Thailand, Sitthikom Thammasin 21-12, 21-9 dalam aksi separuh akhir di Kompleks Sukan Muntinlupa, hari ini.

Juara Terbuka Taiwan 2018 itu akan membuat perhitungan dengan pemain Singapura, Loh Kean Yew bagi penentuan emas, esok.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata biarpun tiga pertemuan sebelum ini memihak kepada Zii Jia termasuk ketika menewaskan lawan itu pada saingan berpasukan, minggu lalu namun dia menyifatkan peluang tetap 50-50.

"Saya lihat ketika acara berpasukan, Kean Yew mungkin tertekan. Namun, dalam acara individu dia bermain dengan baik.

"Jadi, sukar untuk kita meramalkan apa yang akan berlaku dan bagi saya kedua-dua pemain ada peluang. Apa pun, saya percaya Zii Jia akan menampilkan prestasi terbaiknya," katanya.

Aaron-Wooi Yik pula cemas dalam usaha mara ke final apabila mereka dipaksa bekerja sebelum menang ke atas pasangan Indonesia yang juga pilihan keempat

Wahyu Nayaka-Ade Yusuf Santoso 21-12, 18-21, 21-19.

Naib juara Seluruh England 2019 itu akan menentang pasangan Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit di pentas final.

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto Osman Adnan

Sementara itu, kelibat perseorangan wanita negara, S Kisona turut mencuri tumpuan dalam aksi separuh akhir hari ini apabila dia mengejutkan pilihan kedua dari Thailand, Nitchaon Jindapol 11-21, 27-25, 21-14 sekali gus menempah pertemuan dengan pemain Indonesia, Ruselli Hartawan.

Kejayaan mara ke final kali ini menjadi petanda Kisona berjaya menggalas tanggungjawab diletakkan di atas bahunya selepas ketiadaan Soniia Cheah yang menarik diri ketika aksi pusingan pertama akibat cedera.

"Kisona bermain dengan baik hari ini. Dari aspek psikologi dan fokus dia sangat bagus.

"Untuk final, saya fikir peluang adalah 50-50 kerana kedua-dua pemain adalah underdog dan tidak jangka mara ke final. Siapa yang lebih berani dan lebih fokus akan ada peluang yang lebih cerah untuk menang," kata jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock.

Edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur, emas perseorangan wanita menjadi milik Goh Jin Wei yang menewaskan Soniia dalam aksi final.

Beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut menyertai kelompok pemain negara mara ke final selepas mengetepikan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Phita Haningtyas Mentari 18-21, 21-11, 24-22.

Bagaimanapun, cabaran sukar menanti mereka di pentas final apabila bertemu pilihan pertama yang pasangan ranking nombor lima dunia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.

Nasib tidak menyebelahi empat lagi wakil negara yang beraksi di separuh akhir hari ini iaitu beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin; dua beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen serta beregu campuran,

Berita Harian X