Rabu, 20 November 2019 | 9:02pm
Gambar fail, beregu lelaki negara, Aaron Chia bersama Soh Wooi Yik ketika beraksi pada Kejohanan terbuka Celcom Axiata 2019 di Stadium Axiata, Bukit Jalil. - Foto Syarafiq Abd Samad
Gambar fail, beregu lelaki negara, Aaron Chia bersama Soh Wooi Yik ketika beraksi pada Kejohanan terbuka Celcom Axiata 2019 di Stadium Axiata, Bukit Jalil. - Foto Syarafiq Abd Samad

Aaron-Wooi Yik terus kemaraan Masters Korea

KUALA LUMPUR: Nasib berbeza dialami tiga beregu lelaki naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila hanya Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya mara ke pusingan kedua Masters Korea di Gwangju, hari ini.

Pasangan ranking ke-11 dunia itu meneruskan rentak positif mereka apabila tidak berdepan masalah untuk menewaskan beregu Korea Selatan, Na Sung Seung-Wang Chan 21-13, 21-14 dalam aksi pusingan pertama.

Mereka yang mara ke separuh akhir Terbuka China dan suku akhir Terbuka Hong Kong dalam tempoh dua minggu lalu akan berdepan pilihan keenam dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Sementara itu, malang menimpa Teo Ee Yi-Ong Yew Sin apabila ditunjukkan jalan keluar susulan kekalahan di tangan pasangan profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong apabila tewas 16-21, 17-21.

V Shem-Wee Kiong yang meninggalkan BAM pada Januari lalu untuk bergerak secara profesional akan bertemu pasangan berpengalaman Korea, Kim Gi Jung-Lee Yong Dae di pusingan kedua esok.

Kekalahan pusingan pertama turut menghantui pasangan muda negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei apabila tewas kepada pilihan kelapan dari Korea, Choi Solgyu-Seo Seung Jae 17-21, 20-22.

Berita Harian X