Jumaat, 15 November 2019 | 10:45pm
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika sidang media di Akademi Badminton Malaysia. NSTP/Eizairi Shamsudin
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika sidang media di Akademi Badminton Malaysia. NSTP/Eizairi Shamsudin

BAM tukar sasaran emas

KUALA LUMPUR: Ketiadaan pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei memaksa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengubah sasaran skuad negara pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina kepada satu berbanding dua pingat emas sebelum ini.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, walaupun beberapa kejohanan terakhir ini menyaksikan peningkatan ditunjukkan wakil negara yang akan ke Manila, pihaknya enggan meletakkan tekanan kepada pemain.

"Jika kita lihat hari ini (saingan Terbuka Hong Kong), beregu campuran kita Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menewaskan pasangan Thailand (Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai) buat kali kedua,” kata Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

“Ia satu petanda yang baik. Namun, kami tidak mahu meletakkan tekanan yang tidak sepatutnya kepada pemain. Seperti yang saya katakan, beregu lelaki kita (Aaron Chia-Soh Wooi Yik), beregu campuran dan termasuklah perseorangan lelaki, Lee Zii Jia...mereka masih muda dan akan meningkat dari semasa ke semasa.

"Saya fikir, jika pemain melakukan persiapan terbaik termasuk aspek mental dan fizikal, mereka mampu mencipta kejutan."

Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, badminton meraih satu emas menerusi Jin Wei selain lima perak dan dua gangsa.

Jin Wei tidak dapat mempertahankan emas dimenanginya itu kali ini selepas baru menjalani pembedahan membuang sebahagian daripada ususnya sebagai usaha menyelamatkan kerjayanya, bulan lalu.

Dalam perkembangan lain, Norza turut mengesahkan semua pemain remaja yang ditempatkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ketika ini akan dipindahkan ke ABM, bermula Januari depan dengan mereka akan menjalani latihan dan sesi pembelajaran di sana.

"Sebab itu, kami bersetuju untuk mencari seorang supremo bagi program pembangunan remaja, ini selaras dengan perpindahan pemain SSBJ ke sini. Kami sudah bertemu dengan ibu bapa pemain yang terbabit dan keseluruhannya sudah menyatakan persetujuan," katanya.

Berita Harian X