Khamis, 14 November 2019 | 9:23pm
BEREGU lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.
BEREGU lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Ee Yi-Yew Sin kejutkan pilihan kelima

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin enggan terlalu cepat berpuas hati susulan kejayaan menumbangkan pilihan kelima, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto untuk mara ke suku akhir Terbuka Hong Kong, hari ini.

Ee Yi-Yew Sin yang terdesak untuk membuktikan mereka masih berhak mendapat dalam skuad kebangsaan sebelum Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjalankan proses 'pembuangan' hujung tahun ini cemerlang apabila melakar kemenangan 21-19, 21-14 ke atas lawan dari Indonesia itu dalam aksi pusingan kedua.

Bagi Ee Yi, biarpun gembira dengan kemenangan itu, masih banyak perlu diperbaiki dalam corak permainan mereka terutamanya kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan.

"Mujur, tuah memihak kepada kami dalam perlawanan ini. Kami perlu terus fokus bagi menghadapi perlawanan seterusnya kerana ia akan menjadi perlawanan yang lebih mencabar," kata Ee Yi.

Pasangan ranking ke-20 dunia itu dijadual menentang beregu Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seung Jae bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Satu lagi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mara ke suku akhir selepas menewaskan pilihan kelapan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-15, 21-13.

Aaron-Wooi akan bertemu pilihan ketiga dari China Li Jun Hui-Liu Yu Chen pada bagi memburu slot ke separuh akhir, esok.

Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie hanya selangkah lagi untuk menyamai pencapaian mara ke separuh akhir Terbuka China, minggu lalu apabila turut mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Jepun, Kohei Gondo-Ayane Kurihara 21-14, 21-18.

Mereka akan bertemu pilihan ketiga dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai bagi merebut tempat ke kelompok empat terbaik, esok.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang ditunjukkan jalan keluar selepas tewas kepada pasangan tuan rumah, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 20-22, 15-21.

Berita Harian X