Khamis, 7 November 2019 | 6:52pm
Gambar fail, beregu lelaki negara, Aaron Chia bersama Soh Wooi Yik ketika beraksi pada Kejohanan terbuka Celcom Axiata 2019 di Stadium Axiata, Bukit Jalil. - Foto Syarafiq Abd Samad

Aaron-Wooi Yik cetus petanda positif

KUALA LUMPUR: Ada sinar dijelmakan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam misi meraih pingat emas menjelang Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina yang bermula hujung bulan ini.

Pasangan itu mempamerkan prestasi cemerlang apabila kembali bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menumbangkan pilihan kelima kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 13-21, 21-18, 21-16 dalam aksi pusingan kedua Terbuka China di Fuzhou, hari ini.

Kemenangan itu memberi petanda positif memandangkan Alfian-Rian Ardianto dijangka menjadi pencabar utama bagi perebutan emas dalam acara beregu lelaki pada temasya di Manila nanti.

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan ke atas lawan itu apabila mereka turut menang dalam dua pertemuan sebelum ini di Masters Malaysia pada Januari dan Seluruh England, Mac lalu.

“Tidak banyak yang boleh kami komen mengenai perlawanan hari ini. Biarlah kami tamatkan saingan dalam kejohanan ini terlebih dahulu, selepas itu nanti kami boleh rumuskan keseluruhannya,” kata Aaron yang mahu terus kekal fokus bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

Aksi suku akhir esok bakal menyaksikan pasangan ranking ke-14 dunia itu menentang bekas juara dunia yang juga beregu nombor dua dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.

Pertemuan itu sudah pasti menjadi tugas sukar buat Aaron-Wooi Yik yang tewas dalam keempat-empat pertemuan sebelum ini termasuklah ketika aksi final Seluruh England, Mac lalu.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menundukkan pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-18, 21-13.

Satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie turut mengikut jejak langkah senior mereka apabila mara ke suku akhir hasil kemenangan ke atas Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 23-21, 21-13.

Bagaimanapun, nasib malang menghantui pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia apabila dia terpaksa menarik diri di set kedua ketika menentang pemain nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun selepas demam.

Zii Jia tewas 9-21 di set pertama sebelum membuat keputusan menarik diri ketika ketinggalan 3-11 di set kedua.

“Ketika bangun tidur pagi tadi, Zii Jia mengadu yang dia demam dan dia juga tidak berselera untuk bersarapan tetapi saya paksa serta makan ubat. Ketika perlawanan dia memang tidak bertenaga dan menarik diri,” kata jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan.

Satu lagi beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang mara sehingga ke separuh Terbuka Macau minggu lalu turut ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua selepas tewas kepada pilihan keempat dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 20-22, 18-21.

 

 

Berita Harian X